Pemimpin Konvoi Viva Palestina Puji Usaha Dr Mahathir, Isteri

Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara tokoh yang menerima pujian daripada seorang ahli politik Britain atas usaha membantu memastikan Konvoi Viva Palestina sampai ke destinasinya di Semenanjung Gaza.

Selain Dr Mahathir, George Galloway, seorang Ahli Parlimen Britain, turut memuji tindakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memastikan misi bantuan kemanusiaan itu mencapai matlamat.

Konvoi berkenaan dianggotai 416 sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom sedang dalam perjalanan ke Gaza untuk mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada orang awam yang terperangkap dalam konflik di sana.

Galloway, yang memimpin konvoi tersebut, memberitahu rangkaian televisyen Al Jazeera bahawa konvoi itu perlu diberi kebenaran untuk meneruskan perjalanan ke Gaza berikutan sekatan yang dikenakan oleh rejim Israel terhadap penduduk Gaza dengan dunia luar.

Konvoi itu membawa barang keperluan dan bantuan bekalan perubatan kepada penduduk Palestin yang terputus bekalan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan pelbagai keperluan asas yang lain.

Dalam laporan bertajuk "Fighting to Break the Gaza Siege", Al Jazeera memetik Galloway sebagai berkata konvoi itu mengejar masa untuk menyampaikan bekalan ubat-ubatan kerana bimbang dengan tarikh luput dan mudah rosak di bawah cuaca panas.

"Kerajaan Turki dan Perdana Menteri Erdogan (Recep Tayyip), Dr Mahathir dan Rosmah sedang berusaha sedaya mungkin," katanya seperti dipetik oleh laporan itu yang disiarkan pada Isnin lalu.

Galloway juga berkata, beliau telah menulis kepada Ratu Rania dari Jordan dengan memintanya menghubungi wanita pertama Mesir, Suzanne Mubarak, selaku ketua Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir, membantu konvoi itu.

Katanya, terdapat lebih 200 trak dan 500 orang dari 17 negara, yang mengorbankan cuti Krismas, dengan cuba membantu 1.5 juta penduduk Arab dan Islam di Gaza.

"Kami empat jam dari Rafah dan sebuah kerajaan Arab tidak akan membenarkan kami meneruskan perjalanan," katanya.

Galloway berkata, anggota konvoi itu menyambut Krismas di tempat letak kereta di Aqaba selepas Mesir enggan membantu mereka.

Menurutnya, sebelum ini ramai penduduk Turki, Arab dan Britain bersama-sama berada di bandar Aqaba ketika bertempur semasa Perang Dunia Pertama.

Bagaimanapun katanya, kini mereka semua berjuang untuk memecahkan sekatan ke atas penduduk Palestin di Gaza.

"Selepas ini ada banyak masa untuk mengkaji peranan setiap orang dalam cerita sedih Krismas ini tetapi buat masa ini, saya merayu kepada semua untuk membantu kami sampai ke Gaza," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan