Tok Mat 'Mr Propaganda' Terbaik, Kata Bekas Setiausaha Akhbar

Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Rahmat ialah "Mr Propaganda" yang terbaik, kata bekas setiausaha akhbarnya Zukri Valenteno Mohd Ali.

"Sebagai "Mr Propaganda", Allahyarham bekerja seorang. Beliau ialah 'oneman team' dan selesa begitu", katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Zukri berkata ketika menyandang jawatan Menteri Penerangan sebanyak dua kali iaitu dari 1978 hingga 1982 dan dari 1987 hingga 1999, Allahyarham banyak menjulang nama baik kerajaan dan parti.

"Saya anggap beliau sebagai Menteri Penerangan personified," katanya.

Bekas Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno itu meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Bukit Damansara di sini hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Asar.

Bagi Zukri, dalam banyak-banyak gelaran yang diberikan kenalan dan orang ramai kepada Allahyarham seperti Tok Mat, Mat Bulat dan sebagainya, paling istimewa dan yang turut menyentuh Allahyarham ialah "Mat Umno", panggilan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Beliau amat menyayangi Umno. Pada suatu hari dia pernah berkata inilah rumah kedua saya, iaitu pejabatnya di tingkat 38, ibu pejabat Umno dan BN. Baginya, Umno ialah orang Melayu dan orang Melayu ialah Umno," kata Zukri.

Zukri juga menganggap Allahyarham sebagai bos yang baik dan karismatik, "seorang pemikir, strategis dan pelaksana".

Katanya Allahyarham banyak menjalankan kempen yang berjaya seperti "Setia Bersama Rakyat (Semarak) dan kempen MESRA yang melonjakkan nama Dr Mahathir dan kerajaan BN, malah berbakat menulis beberapa lagu patriotik seperti "SETIA" dan "Sejahtera Malaysia".

"Sebagai Menteri Kabinet, Tok Mat tidak pernah mementingkan protokol, orang ramai dan sesiapa jua boleh bertemu beliau tanpa temu janji dan beliau akan layan, baik di pejabatnya, di kawasan parlimen ataupun ketika berehat minum kopi di Hotel Equatorial (kegemarannya) di Kuala Lumpur," katanya.

Zukri yang kini merupakan Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, mengenali Allahyarham sejak 1990 iaitu semasa beliau menjadi wartawan di Bernama, The Star dan The Sun sebelum menjadi setiausaha akhbar Allahyarham selama lima tahun sejak 1995.

Beliau menganggap Allahyarham seorang yang peramah dan ringkas, dengan lazimnya di pejabat, beliau mengambil sarapan teh-O dengan nasi lemak bungkus kerana nasi lemak mengingatkannya kepada zaman persekolahannya di mana beliau menjaja kuih dan nasi lemak.

Selain itu, Zukri berkata Allahyarham menggemari lagu "Rindu Lukisan" yang dinyanyikannya pada majlis tertutup tertentu.

Antara kata-kata Tok Mat yang sentiasa dikenang Zukri mengenai Umno ialah, "For Umno, I've done my job but people hate my guts and in the end, they respect me." (Untuk Umno saya telah melakukan tugas saya tetapi orang ramai membenci keberanian saya dan akhirnya, mereka menghormati saya.)

Zukri pernah meminta izin Allahyarham untuk menulis buku mengenainya bertajuk "Yang Setia" tetapi setiap kali ditanya, jawapannya ialah: "Siapa nak baca pasal aku?".

Akhirnya baru-baru ini, Zukri berkata beliau telah membaca buku hasil tulisan Allahyarham sendiri mengenai pengalamannya yang berjudul "UMNO: Akhir Sebuah Impian" yang dilancarkan Oktober 2009. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan