Suami Isteri Maut Dalam Kemalangan Babitkan Dua Kereta

Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri terbunuh manakala tiga anak mereka cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 10.3 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini, awal pagi ini.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, Teoh Wong Keong, 32, pemandu kereta jenis Toyota Camry meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, manakala isterinya, Gan Ai Fern, 32, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai maut akibat kecederaan serius di bahagian kepala, leher dan dada dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.15 pagi itu.

Menurutnya, anak pasangan itu, Ronnie Teoh Chia Ming, 11, dan Kevin Teoh Chia Shen, 9, masing-masing patah bahu serta kaki kanan dan dirawat di HTAR manakala Eddie Teoh Chia Xin, 8, menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Che Husin berkata, kejadian berlaku semasa kereta yang dinaiki keluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur Pandamaran, Klang, apabila ia terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika tiba di tempat kejadian.

"Akibat pelanggaran, kereta yang berada di laluan laju itu terbabas ke laluan tengah dan melanggar sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz sebelum kedua-dua kereta melanggar tiang papan tanda di tepi lebuh raya. Impak rempuhan kuat itu juga menyebabkan kedua-dua kereta melekat pada papan tanda berkenaan," katanya.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak kemungkinan kereta Toyota Camry itu dipandu laju dan pemandunya berada dalam keadaan mengantuk.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp Muhammad Abdul Hafiz Sariee dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan menelefon 03-55102222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan