PKPIM Sokong Wujudkan Semula Sudut Pidato

Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh cadangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah semalam untuk mewujudkan semula sudut pidato di setiap universiti dalam negara.

Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan akhbar berkata, PKPIM menyokong penuh pandangan tersebut memandangkan ia berupaya untuk menghidupkan kembali budaya ilmu dan intelektual di yang telah malap sekian lama di universiti selain mengangkat peranan utama universiti itu sendiri sebagai pusat keilmuan dan pendidikan.

"Ia mampu meluaskan pemikiran dan kepekaan mahasiswa terhadap isu-isu semasa yang melingkari masyarakat dan mahasiswa. Ia sememangnya merupakan medium terbaik bagi mereka menyatakan idealisme, pandangan, dan keperihatinan mereka," katanya.

Menurut Muhammad Faisal, PKPIM beranggapan bahawa sudut pidato itu secara langsung akan memangkin pembentukan generasi mahasiswa global lantaran dari budaya pertembungan intelektual dan idea yang berlaku memandangkan pidato bukan sekadar seni melontarkan kata-kata, tetapi juga merupakan seni untuk melontarkan kebijaksanaan.

Sementara itu menurutnya, dengan diwujudkan semula Sudut Pidato ini juga, ia dilihat amat selari dengan prinsip kebebasan bersuara seperti mana yang terkandung dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Mahasiswa seharusnya berpegang kepada idealisme perjuangan mahasiswa yang tulen yang bersikap bebas dari pengaruh mana-mana parti politik serta bergiat atas kapasiti masyarakat sivil untuk bersama membangunkan masyarakat," katanya lagi.

Bagaimanapun bagi membentuk kepimpinan jangka panjang, mahasiswa harus sentiasa berpegang kepada kepimpinan berilmu, al-qaid al-mufakkir dengan memastikan dirinya adalah ilmuan sejati dan bukannya sekadar mengaku ilmuan tetapi bersikap seperti tidak mempunyai prinsip dan pendirian sendiri sebagai pemimpin.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk menyahut pandangan tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab dan iltizam sebagai nadi kepada pembangunan mahasiswa sendiri.

"Sebagai pemimpin negara masa hadapan, kita harus sedar bahawa mahasiswa harus mencari medium yang sesuai untuk proses kematangan berfikir dan memimpin," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan