Pemergian Tok Mat Satu Kehilangan Besar

Diterbitkan: Jumaat, 1 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamed Rahmat banyak berjasa kepada negara dan pemergiannya ke rahmahtullah hari ini adalah suatu kehilangan besar, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Beliau adalah pejuang negara yang akan sentiasa dikenang. Beliau sukar dicari ganti. Umno dan masyarakat terhutang budi padanya," katanya ketika ditemui pemberita semasa menziarahi jenazah bekas Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno itu di kediaman allahyarham di Bukit Damansara di sini hari ini.

Allahyarham, yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-72 pada Isnin depan, meninggal dunia dalam tidur pada kira-kira jam 8 pagi tadi. Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas Asar.

Rais berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham kerana mereka bertemu di pejabatnya (Rais) dua hari lepas.

"Kami sempat menghabiskan masa bersama...beliau adalah seorang yang ikhlas dan komited pada kerja, sebab itu beliau memegang portfolio Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno serta Barisan Nasional (BN) dalam tempoh yang lama," katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pula melahirkan rasa sedih di atas pemergian Allahyarham.

Beliau berkata, Allahyarham yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' berjaya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan krisis dan pergolakan dalam Umno sepanjang menyandang jawatan Setiausaha Agung parti itu.

"Arwah memegang jawatan itu paling lama, banyak jasa beliau pada parti..kesusahan, pergolakan dan krisis yang beliau tempuhi.

"Beliau kendalikan kerja-kerja dan laksanakan tanggungjawab kepada parti dengan begitu baik sekali. Saya masih ingat kempen yang dilaksanakan banyak membawa kebaikan pada parti," katanya.

Abdullah berkata, Allahyarham adalah sebahagian daripada Umno dan beliau telah menyumbangkan banyak jasa untuk membangunkan martabat bangsa dan negara.

Allaryarham pernah menyandang jawatan setiausaha Agung Umno sejak 1988 hingga 1996 dan Setiausaha Agung BN dari 1994 hingga 2004.

"Alhamdulilah, Allahyarham pergi meningalkan dunia ini dalam kedaan tenang, ketika tidur...tanpa kesusahan. Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat kepada rohnya dan kita berdoa semoga arwah ditempatkan di sisi orang-orang yang soleh," katanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, selain berjasa dalam Umno, Allahyarham banyak membawa perubahan dalam bidang penerangan dan penyiaran.

"Waktu itu kita tahu bahawa saluran yang utama hanyalah Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja, dan kerana peranan beliaulah, bidang penyiaran mula berkembang.

"Ini terbukti melalui kewujudan TV swasta seperti TV3 dan Astro kerana beliaulah yang bertanggungjawab menggerakkan pengeluaran lesen TV swasta di negara ini," katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, Allahyarham banyak memberikan idea-idea baru serta merupakan seorang yang sangat taat kepada pemimpin.

"Namun, apa yang beliau lakukan itu sering disalahtafsirkan oleh pelbagai pihak sama ada dalam atau luar parti. Saya cukup terhutang budi kepada beliau sebagai pendidik kepada karier politik saya," katanya.

Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Syed Jamil Syed Jaafar berkata, arwah merupakan seorang insan yang sangat pemurah dan begitu prihatin terhadap kebajikan kakitangannya.

"Dia seorang yang prihatin, baik hati. Sememangnya negara kehilangan seorang tokoh yang sukar dicari ganti," katanya.

Di Melaka, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang gigih serta kuat bekerja untuk parti Umno dan kerajaan semasa hayatnya.

"Allahyarham berjaya dalam usahanya memulihkan semula keyakinan rakyat kepada parti dan kerajaan," katanya dan menurutnya jasa Allahyarham akan dikenang sepanjang hayat.

Beliau berkata, Allahyarham seorang pemimpin yang banyak memberi pandangan yang ikhlas untuk kebaikan rakyat, parti dan negara. "Saya selalu berbincang dengan beliau semasa beliau menjadi Setiausaha Agung Umno, beliau sentiasa memberi pandangan yang baik untuk memperbaiki lagi perkhidmatan parti dan kerajaan," katanya.

Di Terengganu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar bagi negara.

Menurutnya, Allahyarham terkenal sebagai seorang pejuang Umno yang disegani dan pemimpin negara yang dihormati, juga terkenal sebagai seorang yang tegas tetapi dalam masa yang sama berjiwa rakyat.

"Budi dan jasa beliau akan tetap dikenang dalam lipatan sejarah negara amnya dan Umno khususnya," katanya.

Di Johor, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Allahyarham adalah seorang yang setia kepada parti dan banyak memainkan peranan dalam menggerakkan Umno.

"Pemergian beliau sangat dirasai. Beliau seorang tokoh yang banyak berjasa bukan sahaja kepada parti malah rakyat tempatan.

"Beliau sangat setia dan bekerja kuat walaupun dalam keadaan mencabar di dalam Umno khususnya pada tahun 80-an. Beliaulah orang yang memainkan peranan dalam menggerakkan Umno baru selepas parti itu diharamkam," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, ketika dihubungi.

Di Kota Kinabalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, bekas Menteri Penerangan itu akan diingati oleh rakyat negeri tersebut sebagai insan yang banyak berbakti dan berjasa semasa menjadi Setiausaha Agung Umno dalam membawa masuk dan memperkukuhkan Umno Sabah sebagai tunjang kerajaan negeri dan BN.

"Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada negara, terutama kepada kami di Sabah.

"Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin, tetapi juga sahabat karib, pejuang yang gigih dan tokoh yang cekal dalam memartabatkan perjuangan parti dan kerajaan, demi agama, bangsa dan negara," katanya dalam kenyataan di sini.

Musa turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan