Cadangan SPR Dapat Reaksi Berbeza

Diterbitkan: Khamis, 31 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan tempoh bertenang selama 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari mendapat reaksi berbeza daripada pemimpin parti-parti politik.

Rata-rata parti pembangkang menyifatkan cadangan berkenaan merupakan sesuatu yang sia-sia dan tidak akan memberi banyak perubahan kepada sistem pilihan raya di negara ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan, cadangan berkenaan merupakan sesuatu yang mengarut dan tidak berfaedah.

Beliau berkata, cadangan supaya tempoh penamaan calon dilanjutkan selama tiga hari hanya membuang masa dan merugikan.

"Ini mengarut dan buang masa. PAS tolak sama sekali cadangan ini," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan SPR untuk meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

Antara cadangannya ialah bagi melanjutkan tempoh bertenang selama 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari bagi membendung kekecohan dan keganasan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong parti bertanding.

Jika cadangan itu diluluskan maka tempoh bertenang akan bermula sehari sebelum hari pembuangan undi berbanding bermula pada pukul 12 tengah malam sebelum hari pengundian sekarang ini.

Cadangan supaya tempoh penamaan calon dipanjangkan selama tiga hari pula untuk mengelakkan pertembungan penyokong parti-parti bertanding yang datang secara serentak.

Selain itu, Salahuddin juga berkata, SPR sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan integriti suruhanjaya itu terutamanya dalam isu-isu yang memberi kepentingan kepada rakyat.

"Saya nak nasihatkan kepada SPR supaya fikir perkara-perkara yang lebih besar dan memberi manfaat kepada pengundi...bukannya perkara remeh dan teknikal macam ini.

"Ada banyak isu lain perlu diteliti seperti masalah undi pos, kos perbelanjaan pilihan raya serta mengenai kebebasan media," katanya.

Jelas beliau, isu keselamatan yang dibangkitkan oleh SPR sebenarnya boleh diatasi dengan meningkatkan kerjasama dengan pasukan keselamatan.

Katanya, isu berkenaan tidak akan berbangkit sekiranya SPR menyediakan mekanisme yang terancang bagi mengelak berlakunya kekecohan di kalangan penyokong parti pada hari penamaan calon.

"SPR sepatutnya sediakan tempat yang sesuai untuk para penyokong bagi parti-parti yang bertanding.

"Mereka juga perlu tingkatkan kawalan keselamatan dengan kerjasama pihak yang berwajib bagi mengawal proses penamaan calon... itu sahaja," katanya.

Bagaimanapun katanya, cadangan bagi melanjutkan tempoh bertenang kepada 24 jam adalah sesuatu yang baik.

"Yang itu baiklah, itu tak ada masalah... tapi walau apa pun kita kena bahas dulu usul ini bila ia dibentangkan di Parlimen nanti," katanya.

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka juga menolak cadangan berkenaan kerana menganggap ia hanya memberi kepentingan kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua berkata, pihaknya meragui cadangan SPR itu kerana dilihat mempunyai muslihat yang tersembunyi.

"Dengan cadangan ini kita nampak macam SPR ada agenda tertentu untuk berpihak kepada BN.

"Itu semua cadangan BN, cadangan kita dari pembangkang langsung tidak diendahkan sedangkan isu-isunya adalah lebih besar dan penting.

"Kita bukan sahaja menolak, tapi kesal dengan sikap SPR yang agak berat sebelah ini," katanya.

Jelasnya, SPR perlu lebih prihatin dan peka dengan permintaan rakyat yang mahu beberapa isu diselesaikan dengan segera.

"Tolonglah tumpu kepada isu-isu yang lebih besar seperti pemutihan senarai pengundi, kemaskini data pilihan raya...ini lagi penting," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan memberikan pandangan berbeza mengenai cadangan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan sedemikian kerana dilihat mampu mewujudkan suasana pilihan raya yang tenteram dan aman.

"Saya pasti SPR sudah perhalusi dan menilai mengenai cadangan ini sebelum mereka suarakan.

"Bagi Umno, kami melihat cadangan ini memang ada baiknya namun perlu diperhalusi mengenai kaedah perlaksanaan," katanya.

Jelasnya lagi, walaupun cadangan tersebut diterima, hak demokrasi pengundi tidak diabaikan.

"Hak demokrasi adalah sangat penting, selagi cadangan ini tidak menggugat hak berkenaan, saya rasa tidak ada masalah jika cadangan ini diterima," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan