Peter Nyarok Pertahan Jawatan Timbalan Presiden SPDP

Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Peter Nyarok Entrie berjaya mempertahankan kedudukannya dengan meraih majoriti 135 undi pada pemilihan parti di sini semalam.

Ahli Dewan Negeri Krian itu meraih 201 undi mengalahkan pencabarnya Philip Ngo, 45, yang hanya memperoleh 66 undi pada Perhimpunan Agung Tiga Tahunan parti itu.

Nyarok, 67, yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian memegang jawatan kanan parti itu sejak 2003. Kemenangan Ngo merupakan cabaran langsung terhadap rancangan status quo presiden parti Datuk Seri William Mawan Ikom untuk mengekalkan barisan kepimpinannya. Mawan, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi negeri menang tanpa bertanding buat penggal ketiga berturut-turut.

Pemimpin-pemimpin kanan lain yang menang tanpa bertanding ialah naib presiden kanan Datuk Peter Nansian (Menteri Muda Alam Sekitar Negeri) dan Datuk Jacob Sagan (timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan bendahari agung Datuk Seri Tiong King Sing.

Dalam pertandingan untuk tiga jawatan naib presiden, Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat, Anggota Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe dan Adun Ba'Kelalan Nelson Ballang terpilih.

Peguam Robert Ayu ialah Ketua baru Pemuda sementra Chiew Yen Chew ialah ketua Wanita SPDP.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan mesyuarat agung itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan