Perak Tubuh Yayasan Basmi Kemiskinan Secara Sistematik

Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kerajaan negeri Perak menubuhkan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan bagi melaksanakan agenda pembasmian kemiskinan secara lebih serius dan sistematik sekaligus membina upaya golongan miskin untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, yayasan berkenaan tidak akan membezakan latar belakang, agama dan kaum dalam membantu golongan miskin dan setiap kes yang diterima akan disiasat bagi memastikan kesahihannya.

"Penubuhan yayasan ini memberi harapan baru kepada rakyat Perak, terutama golongan miskin dan terpinggir dalam kehidupan mereka selaras dengan gagasan 1Malaysia dan Perak Amanjaya.

"Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan adalah serius dan bukanlah sekadar retorik semata-mata. Kita harap dengan adanya yayasan ini usaha dan proses pembasmian kemiskinan dapat disegerakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran awal yayasan itu di Kelab Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Pada majlis pelancaran itu, yayasan berkenaan berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM2.5 juta daripada syarikat korporat dan anak syarikat kerajaan negeri.

Zambry berkata, lebih banyak sumbangan dijangka diterima yayasan itu berikutan komitmen yang diberikan oleh beberapa syarikat korporat yang berminat menyumbang bagi melaksanakan tanggungjawab sosial.

Beliau berkata, setiap sumbangan terhadap dana yayasan akan diberikan pengecualian cukai oleh kerajaan.

"Kita akan umumkan tidak lama lagi bagaimana cara syarikat boleh menyalurkan sumbangan serta talian hotline bagi memudahkan golongan memerlukan menghubungi yayasan untuk dapatkan bantuan. Yayasan ini akan beroperasi secara rasmi bermula 1 Januari," katanya.

Katanya, antara golongan sasar yang akan dibantu yayasan itu adalah Orang Kurang Upaya, miskin tegar, warga emas, ibu dan bapa tunggal, dan mereka yang menjadi miskin secara tiba-tiba disebabkan kematian ketua keluarga.

Yayasan itu turut akan menyediakan skim kredit mikro dan insurans tabbaruk selain bantuan bersifat 'one-off'.

"Bagi skim mikro kredit, pegawai-pegawai yayasan akan memantau perkembangan penerima bagi memastikan mereka benar-benar berjaya dalam bidang perniagaan kecil yang mereka ceburi," katanya.

Menurutnya, beliau akan memastikan fungsi dan peranan yayasan ini berkesan bagi mencapai objektif penubuhannya kerana tidak mahu ia menerima nasib yang sama seperti mana yayasan yang lain selepas beberapa tahun penubuhannya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan negeri, Datuk Saarani Mohamad sebagai Pengerusi manakala Khairul Azwan Harun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yayasan berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan