LPKP Cadang Wujud Sistem Profil Pemandu

Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedang meneliti untuk mewujudkan satu sistem profil pemandu bas ekspres, yang menyenaraikan nama semua pemandu sama ada mempunyai rekod bersih atau disenaraihitamkan dalam usaha membendung kemalangan maut melibatkan pengangkutan awam itu.

Pengerusinya, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata sistem data itu membolehkan pengusaha-pengusaha syarikat bas ekspres mengenal pasti tahap kecekapan dan pemanduan mana-mana pemandu yang memohon untuk berkhidmat di syarikat mereka sebelum membuat keputusan menggaji pemandu itu atau tidak.

"LPKP sedang meneliti untuk mengadakan 'driver's profiling system' (sistem profil pemandu) sebagai satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan usaha kita untuk mengelakkan tragedi bas ekspres yang boleh meragut banyak nyawa.

"Bagaimanapun, perkara ini memerlukan perincian untuk mengelakkan pertindihan tugas dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang selama ini bertanggungjawab ke atas pemandu. Selepas penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tahun depan, lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) diletakkan di bawah badan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata dengan merujuk sistem data berkenaan, pengusaha-pengusaha syarikat bas ekspres boleh menilai dan memilih setiap pemandu yang akan berkhidmat di syarikat mereka dan bukan sekadar untuk memenuhi kekosongan jawatan berkenaan.

"Mereka perlu ingat bahawa memandu sebuah bas ekspres bukan satu tugas yang mudah apatah lagi dalam perjalanan jauh serta melibatkan banyak nyawa yang dipertanggungjawabkan," katanya.

Selain memperkenalkan sistem data pemandu ini, Halimah berkata Kementerian Pengangkutan juga turut mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan pusat latihan kepada pemandu-pemandu bas ekspres bagi melahirkan pemandu yang cekap dalam pemanduan serta mempunyai sikap bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan yang selamat dan mesra kepada pengguna.

Katanya pemandu-pemandu bas ekspres tidak seharusnya memikirkan untuk bekerja semata-mata hendak mengejar trip perjalanan bagi mendapatkan pendapatan atau elaun lebih lumayan sebaliknya bersedia untuk mematuhi undang-undang atau peraturan serta kesediaan memandu dengan selamat.

"Sebelum ini kita telah menetapkan syarat atau kriteria tertentu pemberian lesen individu kepada pemandu teksi di mana pemandu berkenaan mesti mempunyai pengalaman lima tahun memandu teksi. Syarat atau kriteria sebegini mungkin kita boleh gunakan dalam penentuan pemandu bas ekspres nanti," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai nahas bas dua tingkat Sani Express yang terbabit dalam kemalangan di KM272.8 Lebuh Raya Utara Selatan dan mengorbankan 10 nyawa Sabtu lepas, Halimah berkata keputusan mengenai sebarang tindakan terhadap syarikat berkenaan hanya akan diketahui selepas jawatankuasa inkuiri tentang kemalangan maut bermesyuarat pada 5 Jan depan.

Katanya LPKP akan membuat keputusan berdasarkan kepada laporan-laporan yang diterima daripada pelbagai agensi teknikal terbabit termasuk PDRM, JPJ, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan penasihat undang-undang LPKP.

"Kita akan kenal pasti punca kejadian berkenaan dan juga mengambil kira cadangan-cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat itu nanti sebelum membuat sebarang keputusan berhubung insiden nahas itu," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, bas dua tingkat terbabit yang sedang dalam perjalanan ke Kangar dari Klang, Selangor terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan