Dr Rosli Diingatkan Tidak Bertindak Ikut Nafsu

Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir dan isterinya, Ilyani Mohd Noor diingatkan supaya patuh kepada tuntutan agama dan tidak bertindak mengikut nafsu.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr Rosli sepatutnya mematuhi undang-undang serta insaf mengenai dosa dan pahala berhubung perbuatannya.

"Nasihat saya supaya Dr Rosli patuhi undang-undang, ini bukan soal main-main... soal halal dan haram.

"Jangan lupa kepada azab tuhan, situasi yang dihadapinya kini berkaitan dengan dosa dan pahala," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Dr Rosli dan isterinya, melarikan diri dari rumahnya di Lorong Masjid Mustaqim, Telipot di sini pagi semalam selepas hampir 19 jam dikepung keluarga mentuanya.

Dalam kejadian tersebut, kedua-dua pasangan itu berjaya melarikan diri ke tempat yang tidak diketahui dengan menaiki sebuah kenderaan.

Pasangan itu yang diarah mahkamah supaya tinggal berasingan selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui.

Dr Rosli dan Ilyani berkahwin di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008.

Bagaimanapun, berikutan timbul keraguan mengenai status perkahwinan mereka, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 9 November lalu mengeluarkan perintah 'mufarakah' melarang pasangan berkenaan tinggal bersama sehingga kes itu diselesaikan.

Surat perintah tersebut turut memberi kebenaran kepada penguat kuasa agama jajahan dan Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan jika mendapati pasangan itu masih tinggal bersama.

Selain itu Tuan Ibrahim juga berkata, sebagai seorang muslim yang beriman, Dr Rosli perlu akur dengan undang-undang yang ada.

"Hidup ini ada undang-undang, patuh kepada undang-undang juga sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman.

"Soal kesahihan perkahwinan ini sangat penting, buat masa ini mahkamah belum putuskan apa-apa lagi... hanya minta tinggal berasingan.

"Cuba bayangkan kalau diputuskan ia (perkahwinan) tak sah, lagi susah jadinya, berdosa hukumnya kerana mereka masih tinggal bersama," katanya.

Ditanya sama ada tindakan Dr Rosli itu akan menjejaskan imej PAS, Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti itu berkata: "Beliau telah meletakkan jawatan dalam parti... kini hanya ahli biasa.

"Lagipun perkara ini adalah isu peribadi dan tak libatkan PAS sebagai parti politik."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan