Gerakan Sekretariat BN Perak Bukan Petanda Pilihan Raya Negeri - Zambry

Diterbitkan: Selasa, 29 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGAN SERAI: Gerakan mesra rakyat anjuran Sekretariat Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Perak yang dilancarkan hari ini bukan petanda pilihan raya negeri akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menolak dakwaan gerakan seumpama itu adalah persiapan BN bagi menghadapi pilihan raya negeri seperti yang dicetuskan oleh pembangkang sebelum ini bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata gerakan itu dilaksanakan secara agresif mulai Januari ini dengan tujuan mendekatkan pemimpin dengan rakyat di samping mengukuhkan semangat antara parti komponen BN.

"Ia juga adalah antara satu strategi kita untuk memastikan setiap rakyat (yang layak) mendaftar sebagai pengundi dan dengan cara ini kita berharap BN dapat menambah bilangan pengundi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu bagi peringkat Parlimen Bagan Serai di sini semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menolak bahawa program tersebut adalah sebahagian daripada persediaan awal BN Perak bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan kerana semuanya bergantung kepada pemimpin pusat. Bagaimanapun saya perlu memastikan BN Perak bersedia daripada semua segi," katanya.

Zambry berkata beliau telah mengarahkan sekretariat berkenaan memastikan semua pemimpin parti komponen BN terlibat dalam setiap program bersama-sama rakyat yang dianjurkannya.

"Bermula dari sekarang kita mahu setiap pemimpin parti komponen BN bergerak seiringan dan bersama-sama dengan rakyat dalam setiap program mesra rakyat yang diadakan. Kita mahu rakyat kenal kita sebagai pemimpin BN dan tidak (sebagai pemimpin) UMNO, MCA, MIC, Gerakan atau PPP," katanya.

Mengenai persempadanan semula kawasan DUN dan Parlimen, Zambry tidak menolak kemungkinan langkah itu dilaksanakan.

"Jika perlu diadakan, kita tidak ada masalah," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan