Anak Sarawak Akan Dilantik Timbalan Menteri Pelancongan : Najib

Diterbitkan: Selasa, 29 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Anak kelahiran Sarawak akan mengisi kekosongan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan yang dilepaskan oleh Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata pengganti Sulaiman akan diumumkan dalam sedikit masa lagi. "Lebih kurang tapi tidak boleh umumkan lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Dewan Suarah Kuching di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai nama pengganti Sulaiman, yang juga anak lelaki sulung Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang meletak jawatan atas alasan peribadi.

Pada 10 Disember lalu, Abdul Taib berkata Sulaiman terlalu sedih selepas kehilangan ibunya, Puan Sri Laila Taib, yang meninggal dunia kira-kira enam bulan lalu.

Sulaiman, 41, yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah dilantik sebagai Timbalan Menteri pada 19 Mac 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri dan apabila Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri April tahun ini, beliau dikekalkan.

Sulaiman adalah Ahli Parlimen Kota Samarahan yang pernah diwakili oleh ayahnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan