SAM Boleh Diharam Jika Gugat Kepentingan Negara - Berita Semasa | mStar

SAM Boleh Diharam Jika Gugat Kepentingan Negara

Diterbitkan: Isnin, 28 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Pendaftaran Sahabat Alam Malaysia (SAM) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang sah boleh dibatalkan sekiranya ada bukti kukuh ia menjalankan kegiatan yang menggugat kepentingan negara, kata Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohd Alias Kalil di sini hari ini.

Namun katanya sehingga kini pihaknya belum lagi menerima sebarang aduan rasmi terhadap SAM yang seringkali terlibat dalam aktiviti menentang perusahaan pembalakan dan perladangan komersial selain pembinaan empangan di negara ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar semasa melawat pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di sini, beliau berkata masih banyak maklumat diperlukan sebelum pihaknya dapat mengambil tindakan terhadap pertubuhan itu yang telah bergiat sejak lebih 30 tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya akan membuat pemantauan rapi terhadap SAM atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan lain yang cuba memperjuangkan objektif mereka secara keterlaluan.

Menurutnya apa-apa tindakan mereka (Pendaftar) juga perlu disusuli dengan tindakan dari agensi-agensi berkaitan lain di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan pertubuhan itu tidak bergiat secara haram setelah pendaftaran mereka dibatalkan.

Mohd Alias berkata sepanjang tahun ini, sebanyak 705 buah pertubuhan di seluruh negara telah dibatalkan pendaftaran mereka.

Katanya namun hanya sebilangan kecil sahaja tindakan pembatalan itu berpunca dari pertubuhan yang didapati telah melanggar syarat-syarat kelulusan untuk mereka bergiat secara sah.

"Sebahagian besar daripada pertubuhan yang terbatal pendaftaran mereka kerana adalah kegagalan untuk mengemukakan penyata tahunan mereka," katanya.-BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan