Sokong Harga Minimum Rokok

Diterbitkan: Ahad, 27 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan pengguna menyambut baik langkah kerajaan menguatkuasakan harga minimum rokok yang ditetapkan RM6.40 bagi 20 batang mulai Jumaat ini.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, langkah itu dapat menghindari golongan muda terutama para pelajar daripada membeli rokok.

"Dari segi kawalan tembakau mengikut kerangka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara-negara ahli lain memang mengamalkan langkah penetapan harga minimum bagi mengurangkan bilangan perokok muda.

"Ia memang diguna pakai di seluruh dunia tetapi hanya betul-betul berkesan bila disertai dengan penguatkuasaan yang ketat," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Mulai Jumaat ini harga minimum rokok ditetapkan RM6.40 bagi 20 batang, atau RM0.32 sen bagi setiap batang rokok, apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(Pindaan)(No.2) 2009 yang diwartakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan itu.

Beliau berkata mereka yang sabit kesalahan melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Lain-lain harga minimum bagi paket 21 batang rokok ialah RM6.70, 22 batang rokok (RM7.05), 23 batang rokok (RM7.35), 24 batang rokok (RM7.70) dan 25 batang rokok (RM8).

Menurut Muhammad Sha'ani, pihak penguat kuasa perlu turun padang memastikan rokok-rokok tidak boleh dijual kepada mereka yang di bawah umur.

"Para pelajar yang ketagih merokok biasanya membeli sebatang dua untuk menghilangkan ketagihan kerana harga sekotak rokok mahal. Jadi peniaga perlu berhenti menjual rokok kepada mereka.

"Kami juga meminta Kementerian Kesihatan menghebahkan hasil-hasil operasi penguatkuasaan terhadap para peniaga yang ingkar arahan ini. Ini dapat menyampaikan mesej bahawa kerajaan serius dalam soal ini," katanya.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menambah, tempat-tempat rawatan ketagihan merokok wajar diperbanyakkan dan pemantauan dibuat ke atas kawasan larangan merokok.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan, Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPPM), M. Subramaniam berkata, penetapan harga itu akan berkesan memandangkan perokok muda khususnya para pelajar idak mampu membiayai tabiat rokok yang mahal itu.

Bagaimanapun katanya, langkah itu tidak dapat mengurangkan perokok tegar.

"Langkah baik ini perlu diikuti dengan penguatkuasaan. Ia adalah tidak cukup buat masa ini. Ia kena diperketatkan lagi," tegasnya.

Sehubungan itu, Subramaniam mencadangkan penguatkuasaan dilakukan di kedai runcit serta kedai yang beroperasi 24 jam sehari sekitar sekolah.

"Para peniaga perlu ada kesedaran untuk menghalang perokok muda daripada membeli rokok," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan