Noor Jismi, Mangsa Kemalangan Bas Djadualkan Bertunang Esok

Diterbitkan: Sabtu, 26 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Noor Jismi Noordin, 25, salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas ekspress di Ipoh awal hari ini dijadualkan bertunang dengan pilihan hatinya di sini esok.

Bagaimanapun kepulangannya untuk bertemu bakal tunangnya, Rosma Abdullah, 23, yang akan disarung cincinnya esok tidak kesampaian apabila kemalangan itu meragut nyawanya dalam kejadian pukul 1 pagi.

Bapa mangsa, Noordin Osman, 54, ketika ditemui berkata persiapan pertunanga itu telah dilakukan namun beliau tetap menerima takdir yang menjadi sejarah sedih dalam hidupnya.

"Saya sedih kerana dia bersungguh-sungguh untuk menyunting Rosma. Dia sendiri yang beli cincin pertunangan," kata Noordin yang juga seorang guru dan salah seorang jurulatih ragbi di Perlis.

Jenazah Noor Jismi yang merupakan kakitangan percetakan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd itu tiba di kediamannya di Kampung Belanga Pudak pukul 12.45 tengah hari dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Jarak pukul 2 petang.

Turut menunggu kepulangan jenazah Noor Jismi yang juga anak kedua daripada empat adik beradik itu ialah Rosma namun bakal tunang allahyarham enggan ditemubual kerana terlalu sedih.

Noordin berkata allahyarham menetap bersama abangnya, Jasni, 28, di Shah Alam dan kepulangannya ke Perlis malam semalam semata-mata untuk majlis pertunangannya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan