IPT Diminta Jadi Sahabat Pengasih

Diterbitkan: Sabtu, 26 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) diminta menjadi sahabat kepada Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) bagi membendung gejala penagihan dadah di peringkat belia dan remaja, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang juga Penaung Pengasih berkata, permintaan itu lahir ekoran kebimbangan terhadap trend penagihan yang kini lebih menjurus kepada peringkat belia hingga awal remaja.

"Penyalahgunaan dadah adalah isu lama, lebih 30 tahun. Adalah sangat penting bagi semua rakyat, pemimpin masyarakat khususnya berkaitan belia untuk mendapat pendedahan sebenar dari segi trend dan perkembangan kerana isu ini semakin kompleks dan memerlukan pendekatan yang segar dan baru.

"Satu yang kurang pada kita ialah pencelahan untuk mengelak mereka (belia) ini daripada terjebak. Pencelahan ini boleh dikatakan pemerhati Pada 30 tahun lepas, trend penagihan dadah melibatkan mereka yang tua, tetapi sekarang banyak belia, kemudian remaja dan sekarang kepada awal remaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Pengasih dan Mesyuarat Agung Pengasih di sini, hari ini.

Saifuddin juga berkata bahawa daripada 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 44 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), hanya tiga universiti yang telah menjadi sahabat Pengasih iaitu Universiti Industri Selangor (UNISEL), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

"Saya percaya sekiranya IPT menjadi sahabat Pengasih, ia akan dapat memberikan kesan positif dalam usaha kita untuk membasmi dadah dan saya turut menggalakan mahasiswa kita terlibat dalam program sukarelawan dan khidmat masyarakat dan saya harap setiap IPT secara sukarela menjadi sahabat Pengasih.

"Di IPT, ada dua teras mata pelajaran iaitu sukarelawan dan khidmat masyarakat. Jadi kenapa tidak program membasmi dadah dijadikan sebagai aktiviti sukarelawan atau khidmat masyarakat. Peruntukan tidak menjadi masalah," katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, daripada 8,000 persatuan belia yang didaftarkan di negara ini, hanya 10 peratus sahaja yang mempunyai program yang khusus terhadap pembasmian dadah.

Saifuddin berkata, gabungan kerjasama dari persatuan belia dan mahasiswa dilihat mampu memberikan impak positif terhadap pembasmian musuh nombor negara iaitu dadah.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pertubuhan belia agar mengurangkan politik dalaman dan memberikan tumpuan serius dalam usaha memerangi dadah.

"Tahun depan adalah tahun penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia. Jadi saya harap pertubuhan belia membuka lembaran baru dan memberi tumpuan kepada masalah orang kita berkaitan dadah dan kurangkan berpolitik dalam persatuan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Pengasih, Mohd Yunus Pathi dan Pengurus Besar Kumpulan Hubungan Korporat Petronas, Rosli Abdul Rahim.

Mohd Yunus berkata, Pengasih dalam usaha pencegahan awal penagihan dadah dikalangan remaja dan belia, pada tahun hadapan akan bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Ibu bapa sekarang telah mula sedar dan bangun untuk melaporkan kegiatan penagihan dadah di kalangan anggota keluarga tidak seperti sebelum ini. Jadi kita akan memberi pendedahan awal kepada PIBG dan bekerjasama," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan