Pusat Info Taman Agro Teknologi Mardi Beroperasi Januari Depan - Berita Semasa | mStar

Pusat Info Taman Agro Teknologi Mardi Beroperasi Januari Depan

Diterbitkan: Khamis, 24 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi yang menjadi satu daripada produk pelancongan di sini akan mempunyai pusat info pelancongan yang akan mula beroperasi Januari tahun depan untuk memberi kemudahan kepada pengunjungnya.

Pengurus Stesen Mardi Langkawi, Hassim Mat berkata, Mardi memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi membina pusat itu yang turut dilengkapi kemudahan ruang menunggu, kaunter jualan tiket serta pusat jualan buah-buahan dan makanan ringan.

"Orang ramai dan pelancong akan lebih selesa dengan kemudahan di pusat itu berbanding sebelum ini," katanya di sini hari ini.

Taman berkenaan mempunyai keluasan lebih 25 hektar mula dibangunkan sebagai stesen penyelidikan pada Ogos 1990 dan dilancarkan sebagai Taman Agro Teknologi pada Julai 2005.

Pelancong yang berkunjung ke taman itu berpeluang melawat dengan kenderaan khas disediakan dan memetik sendiri buah-buahan sambil menikmatinya.

Hassim berkata, jumlah kedatangan pelancong ke taman itu juga menunjukkan peningkatan dan sehingga sepuluh bulan pertama tahun ini sahaja seramai 32,000 orang telah mengunjungi taman itu berbanding tahun lepas dengan 25,000 orang, 18,820 orang (2007) dan 9,206 orang (2006). - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan