Peguam Negara Kembalikan Kertas Siasatan Kes Kehilangan Enjin Jet

Diterbitkan: Khamis, 24 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan berhubung kes kehilangan dua enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada polis bagi membolehkan kes itu disiasat lebih lanjut dan terperinci, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Katanya, semasa dalam proses siasatan sebelum ini, polis menghantar kertas siasatan berhubung kes itu kepada Peguam Negara untuk dinilai supaya tindakan susulan boleh diambil, namun Peguam Negara menghantar balik kertas siasatan itu kepada polis.

Beliau berkata, ia dihantar balik bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut dan mendapatkan dokumen-dokumen yang penting yang berkaitan di samping mengenal pasti bagaimana enjin ini boleh dibawa ke luar negara.

Menurutnya, siasatan sedang giat dijalankan dan dikemaskini sebelum kertas siasatan kes itu boleh dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Musa berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di sini hari ini.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menyifatkan kes kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E itu sebagai "perkara serius", dan memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sementara itu Musa berkata, beliau tidak menolak kemungkinan polis akan menahan dan mengambil tindakan terhadap beberapa individu lagi yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Sebelum ini beberapa media melaporkan bahawa empat orang termasuk tiga pegawai rendah TUDM ditahan dan dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Musa berkata, sejak ditubuhkan pada 5 Disember 1955, PSP berjaya mempamerkan kemampuan dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Katanya, pelbagai demonstrasi jalanan sejak akhir-akhir ini berjaya ditangani dengan profesional dan bertanggungjawab termasuk menggunakan daya kuasa yang minima dan berlandaskan undang-undang dan standard antarabangsa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan