Enam Sesi Pertemuan Awam, KDN Setuju ISA Dikekalkan

Diterbitkan: Khamis, 24 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan enam sesi Pertemuan Awam dengan pihak berkepentingan bagi membincangkan isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan masing-masing bersetuju akta itu dikekalkan bagi tindakan pencegahan awal sebarang perbuatan atau tindakan keganasan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima isu pokok telah dikenalpasti yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap penguatkuasaan dan pelaksanaan akta tersebut.

Aspek-aspek tersebut melibatkan kuasa-kuasa menteri, tempoh tahanan, hak-hak dan layanan terhadap orang tahanan, persepsi umum bahawa pelaksanaan akta itu bagi tujuan politik dan penahanan tanpa bicara, menurutnya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, enam sesi pertemuan itu melibatkan agensi penguatkuasa, badan bukan kerajaan, pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli politik, anggota parlimen, pengamal media dan orang awam bagi mendengar pandangan serta mendapatkan buah fikiran daripada semua pihak berkenaan.

Katanya, tindakan itu dibuat selaras dengan pengumuman dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar akta itu dikaji semula secara terperinci dan sehubungan itu KDN telah menubuhkan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-undang yang bertanggungjawab untuk menyemak dan mengkaji peruntukan-peruntukan dalam akta itu, prosedur pelaksanaannya serta isu-isu yang berkaitan dengannya.

Hishammuddin berkata, KDN telah mengambil langkah lanjut dengan mengadakan lima sesi perbincangan bersama kumpulan-kumpulan fokus yang telah dikenal pasti bagi memberi peluang dan ruang yang lebih kepada ahli-ahli kumpulan tersebut bagi meneliti serta mengemukakan pandangan dan cadangan terhadap isu-isu yang telah dikenal pasti serta cadangan terhadap pindaan akta itu.

"Saya ingin memaklumkan bahawa hasil daripada pertemuan itu, Jawatankuasa Teknikal sedang di peringkat akhir untuk meneliti setiap pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan semasa sesi-sesi tersebut sebelum sebarang pindaan dibentangkan di Parlimen," katanya.

Beliau berkata, ISA merupakan undang-undang pencegahan yang sangat penting dan sebarang penggubalan atau pindaan berhubung kait dengannya memerlukan kajian serta penelitian yang terbaik.

Jawatankuasa teknikal itu juga katanya turut membuat perbandingan undang-undang sedia ada yang diamalkan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (USA Patriot Act 2001 & Homeland Security Act 2002), Australia (Terrorism Act 2005), United Kingdom (Terrorism Act 2000), Singapura (Internal Security Act 1963), Tanzania (Tanganyika Preventive Detention 1962), Bangladesh (Special Powers Act 1974), Ghana (Preventive Detention Act 1958), Israel (Emergency Powers [Detention] Law) dan Sri Lanka (Prevention Of Terrorism Act 1982).

Menurutnya, kajian itu turut meneliti hasil-hasil kajian dan penulisan oleh ahli akademik, pengamal undang-undang dan sebagainya, khususnya yang berkaitan dengan pelaksanaan ISA.

"Saya merasakan bahawa pindaan ini lebih sesuai dibentangkan dan dibahaskan terus pada sidang Dewan Rakyat akan datang kerana jika dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini ia hanya dapat dibentangkan semata-mata tanpa boleh dibahaskan," katanya.

Menurut beliau, pertemuan awam yang dilaksanakan telah berlangsung dengan jayanya serta terdapat permintaan daripada anggota parlimen pembangkang agar mereka turut dilibatkan dalam pertemuan awam seterusnya.

"Permintaan ini disuarakan kepada saya ketika penggulungan Bajet 2010 KDN pada 10 November lepas, malah permintaan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan sesi-sesi penerangan dan perbincangan awam untuk mendapat respons juga perlu diberikan perhatian dan ruang masa secukupnya," jelasnya.

Katanya, setiap kajian dan penelitian terperinci yang dilakukan sentiasa mengambil kira lima isu pokok yang telah dikenal pasti bagi memastikan sebarang pindaan atau penambahbaikan yang dilakukan terhadap ISA adalah adil dan saksama serta tidak akan menimbulkan sebarang salah faham atau persepsi negatif apabila pindaan tersebut dikuatkuasakan kelak.

Pihak kerajaan sentiasa berpendapat bahawa ISA adalah yang terbaik dan berupaya untuk mengekalkan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat daripada sebarang ancaman atau tindakan yang boleh menggugat kestabilan negara dan rakyatnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan