Rumah Terbuka Krismas Dipinda Ke 29 Disember - Berita Semasa | mStar

Rumah Terbuka Krismas Dipinda Ke 29 Disember

Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2009 yang dijadual diadakan di sini pada 27 Disember ini ditunda kepada 29 Disember.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah, Salehuddin Md Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, tempat dan masa majlis itu bakal berlangsung tidak berubah iaitu di Padang Merdeka pada jam 3 petang.

Ia dijangka dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tetamu kehormat lain yang dijangka hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim serta pemimpin pusat dan negeri yang lain selain pemimpin pertubuhan bukan kerajaan.

Orang ramai adalah dijemput bagi memeriahkan majlis yang bakal diserikan dengan kehadiran 20 Santa Claus dan 20 Santa Rina bagi menimbulkan suasana Krismas sambil mereka dapat menikmati pelbagai makanan tradisi dan moden Sabah.

Para hadirin juga akan dihiburkan dengan persembahan artis jemputan seperti Jamal Abdillah, Stacy, Iqwal, Karen Tan dan Banumita di samping artis dari Sabah sendiri iaitu Clarice John Matta dan Everitus Gungkit.

Persembahan Kumpulan Orkestra Tradisional Malaysia, brass band dan koir juga akan diadakan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan