Pengguna Lebuh Raya Dinasihat Ikut Jadual Perjalanan

Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya PLUS yang ingin kembali ke Lembah Klang Ahad ini selepas cuti perayaan Krismas Jumaat ini, dinasihatkan supaya mematuhi jadual cadangan waktu perjalanan bagi memastikan pergerakan yang lebih selamat, selesa dan lancar di lebuhraya.

Pengarah Urusan PLUS Expressways Berhad (Plus), Noorizah Abdul Hamid berkata, ini kerana jadual yang dikeluarkan oleh Plus bagi cuti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina yang lalu didapati berjaya mengurangkan kesesakan dan membantu melancarkan lagi trafik di Lebuhraya Utara-Selatan.

"Oleh itu kami menasihatkan orang ramai yang ingin pulang semula ke Lembah Klang pada 27 Disember ini supaya mematuhi jadual yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jadual perjalanan yang dicadangkan oleh PLUS untuk pengguna ke Lembah Klang dari utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang ialah sebelum pukul 1 petang, manakala Taiping, Kuala Kangsar dan Ipoh antara pukul 3 dan 6 petang, Tapah, Bidor, Slim River dan Tanjung Malim sebelum pukul 10 pagi dan antara pukul 8 dan 11 malam.

Bagi perjalanan dari selatan pula jadual yang dicadangkan bagi seluruh Johor ialah sebelum pukul 1 petang, manakala Simpang Ampat dan Ayer Keroh di antara pukul 3 dan 6 petang, Seremban, Port Dickson dan Senawang sebelum pukul 10 pagi dan antara pukul 8 dan 10 malam, dengan perjalanan dari tempat-tempat lain dicadangkan selepas pukul 11 malam.

Menurut Noorizah, cadangan waktu perjalanan itu bertujuan membantu orang ramai merancang perjalanan mereka dan sekaligus membantu dalam mengagih dan melancarkan trafik di lebuh raya pada waktu puncak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan