Peguam Negara Jamin Siasatan Penuh Kehilangan Enjin F-5E

Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Sambil menyifatkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E sebagai perkara serius, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes itu.

"Ini perkara serius. Setahu saya, ia melibatkan dua enjin dan apa yang lebih teruk lagi ialah kehilangan itu hanya diketahui kira-kira setahun kemudian. Saya mahu siasatan penuh dibuat. Saya berpendapat orang ramai berhak mengetahuinya," kata beliau.

Laporan yang disiarkan minggu lepas tentang kehilangan dua enjin pesawat pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF) itu mendorong pihak berkuasa menjalankan penyiasatan mengenainya.

Dalam temu bual di sini, Abdul Gani berkata, kes berkenaan rumit kerana ia melibatkan pelbagai agensi, kementerian, agensi pengangkutan dan penghantaran, rangkaian keselamatan serta syarikat yang membaik pulih enjin.

Beliau berkata pihak tentera telah menjalankan siasatan sendiri berhubung kes itu sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis lebih setahun selepas kehilangan enjin berkenaan.

Kes itu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara kira-kira enam bulan lepas untuk disiasat.

"Saya telah meminta pegawai saya menjalankan siasatan lengkap, keseluruhan pergerakan dua enjin terbabit dan saya hendak tahu di mana enjin itu berada sekarang.

"Ini bukan perkara mudah. Ia melibatkan usaha yang dirancang secara rapi oleh sekumpulan orang," kata beliau.

Abdul Gani berada di New Delhi bagi menyampaikan syarahan pada siri syarahan Pertubuhan Perundingan Undang-undang Asia-Afrika (AALCO). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan