Lagi Insentif Untuk Industri Penjagaan Kesihatan

Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lima insentif bagi menjana pertumbuhan industri pelancongan penjagaan kesihatan dan menjadikan hospital swasta lebih berorientasikan eksport.

Bagi tujuan tersebut, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberi pengecualian cukai 100 peratus terhadap perbelanjaan modal untuk tempoh lima tahun bagi pembangunan hospital baru, penambahbaikan serta pemodenan hospital sedia ada.

Kata beliau, pengecualian cukai ini adalah layak untuk pemohon daripada 1 Januari 2010 sehingga 31 Disember 2014.

"Namun begitu, hospital yang layak memohon mestilah yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya semasa berucap melancarkan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia di sini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan akan menyemak garis panduan dan peraturan pengiklanan yang melibatkan hospital swasta dalam mempromosikan industri tersebut.

"Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempromosi pelancongan kesihatan, Majlis Perubatan Malaysia, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (PHSM) dan KKM akan menyemak garis panduan serta peraturan pengiklanan selari dengan perkembangan hospital swasta pada hari ini," ujarnya.

Beliau menjelaskan, insentif pengecualian cukai sebanyak dua kali ganda turut ditawarkan kepada hospital swasta di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Insentif ini merupakan galakkan kepada hospital swasta untuk mencapai kualiti perkhidmatan kesihatan ditahap yang terbaik," kata Najib lagi.

Dalam pada itu, doktor pakar rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang bertugas di luar negara turut dipelawa oleh Perdana Menteri untuk kembali berkhidmat di Malaysia dan berjanji akan menawarkan pas profesional kepada yang berkelayakan berdasarkan kepada pendaftaran dengan mana-mana badan profesional.

Menurutnya lagi, bagi memudahkan pelancong kesihatan yang datang ke negara ini untuk mendapatkan rawatan, visa ketibaan (VOA) pesakit boleh ditukar kepada pas lawatan sosial melalui sokongan hospital swasta yang berdaftar dengan KKM.

"Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pula akan mengeluarkan permit kepada hospital yang berdaftar. Melalui permit ini mereka dibenarkan mengambil pesakit dari Lapangan Terbang ke destinasi yang berkaitan.

"Proses kelulusan untuk pelancong perubatan tinggal lebih lama di peringkat negeri juga akan dipercepatkan," tambah beliau lagi.

Dengan pengumuman ini, Najib berharap pertumbuhan yang ketara dapat dilihat dalam pembangunan industri pelancongan kesihatan pada 2010 dan tahun berikutnya.

Malah beliau menjelaskan peningkatan industri ini juga sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada KKM.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penasihat untuk membantu KKM dalam menjayakan industri kesihatan ini.

"Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah dilantik sebagai pengerusi bersama dalam jawatankuasa itu," kata beliau.

Tambah beliau, ahli-ahli jawatankuasa lain pula akan terdiri daripada wakil-wakil badan kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berkelayakan dalam membangunkan industri tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan