Industri Aeroangkasa Akan Nikmati Insentif Kewangan - Najib

Diterbitkan: Isnin, 21 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan bersetuju untuk memberi insentif kewangan dan percukaian kepada mereka yang terlibat di dalam industri aeroangkasa.

Katanya antara bidang yang akan mendapat insentif ini adalah penyelidikan dan pembangunan (R&D), sistem integrasi, perkilangan dan pengeluaran, penerbangan umum, operasi penyelenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) serta latihan dan persijilan aeroangkasa.

"Pengumuman secara terperinci pemberian insentif ini akan dibuat dalam masa yang terdekat," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia yang keenam di sini.

Najib berkata industri aeroangkasa telah mencatat pertumbuhan 11 peratus setiap tahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini manakala pelaburan telah meningkat 300 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Pada 2008, perolehan dalam industri aeroangkasa telah mencecah RM25 bilion. Katanya industri itu juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada 54,000 orang.

Namun demikian, beliau menjelaskan bahawa bilangan pekerja yang mempunyai kemahiran dalam industri aeroangkasa ini masih belum mencukupi terutama dalam bidang jurutera penyelenggaraan pesawat berlesen (LAME).

"Menjelang 2015, kita memerlukan lebih kurang 16,000 jurutera dalam bidang ini," katanya.

Najib berkata jumlah pelaburan baharu dan pelaburan semula dalam industri setakat ini adalah RM1.4 bilion dan dijangka membuka 2,700 peluang pekerjaan baru. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan