Terengganu Bangunkan Taman Plastik Fasa Kedua

Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu sedang membangunkan fasa kedua taman plastik seluas kira-kira 40 hektar melibatkan kos RM20 juta di Teluk Kalong, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Awang Tera berkata, projek itu dibangunkan dengan kerjasama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang menawarkan lot-lot industri yang berasaskan minyak dan gas.

"Asas utama taman plastik itu adalah dengan menyediakan pelbagai bahan gas, minyak dan kimia yang menjadi bahan utama barangan berasaskan plastik, kepada pelabur asing.

"Kita jangkakan pelabur tertarik dengan taman ini disebabkan penyediaan kemudahan dibuat oleh Petronas yang kedudukannya bersebelahan dengan taman berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perancangan dan Pelaksanaan ECER anjuran Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Eksekutif GABEM, Datuk Rahman Othman.

Mohamad berkata, sebelum ini kerajaan telah membuka fasa pertama tapak taman plastik seumpama itu di kawasan seluas 40 hektar dan sehingga kini semuanya sudah dipenuhi pelabur.

"Kita yakin, pelabur minat merebut peluang melabur di situ disebabkan mempunyai kelengkapan seperti pelabuhan, selain menjimatkan kos pengangkutan apabila semua bahan keperluan seperti minyak, gas dan bahan kimia dibekalkan oleh Petronas," katanya.

Sementara itu, mengenai seminar yang diadakan hari ini, beliau berkata, antara lain ia bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat terutama pengusaha bumiputera terhadap projek-projek yang dilancarkan melalui ECER.

"Kita merasakan masih ramai kalangan pengusaha bumiputera yang tidak memahami program yang telah dirancangkan oleh ECER. Kita mengadakan program ini bagi menyedarkan mereka agar turut terlibat dalam projek-projek yang dirancangkan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan