KOTA BAHARU: Kerajaan pusat belum dapat menentukan jumlah dan kaedah bagaimana pengagihan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan sehingga jumlah bahan pengeluaran hasil petroleum di negeri ini ditentukan oleh Petronas.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed
berkata yang pastinya jumlah pemberian wang ihsan itu mungkin tidak sama dengan apa yang diperolehi kerajaan Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Ini kerana, katanya separuh daripada hasil petroleum negara adalah dari tiga
negeri itu.
"Sehingga ini, kerajaan belum dapat menentukan anggaran peruntukan wang
ihsan yang akan diterima Kelantan," katanya kepada pemberita selepas berucap di majlis perhimpunan kakitangan perkhidmatan Persekutuan di Pusat Teknologi
Pendidikan, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu berkata walaupun pelbagai
andaian dibuat mengenai wang ihsan dan tuntutan royalti minyak dan gas di
Kelantan, namun jumlah sebenar dan kaedah pemberian pengeluaran hasil petroleum itu hanya akan ditentukan selepas kajian selesai dibuat oleh Petronas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 4 November lepas
mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ihsan kepada kerajaan negeri
Kelantan sebagai menggantikan royalti mulai tahun depan.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu
kerajaan pusat tetap memenuhi tuntutan royalti itu dan mungkin mencabar di
mahkamah jika kerajaan pusat enggan berbuat demikian.
"Yang pasti angkanya tidak besar sangat, tidak macam Terengganu, Sabah dan
Sarawak, kerana Kelantan tidak layak medapat royalti itu, kerana kawasan cari
gali minyak itu terletak di kawasan bertindih MTJDA antara Malaysia-Thailand di mana hasilnya dikongsi bersama 50-50," jelas Mustapa mengulas isu itu.
Mengenai kesediaan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk
bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam tuntutan royalti itu, beliau berpendapat semua pihak berhak memberi pandangan.
"Pendirian kerajaan pusat adalah berdasarkan penelitian pihak Petronas. Ini
kerana mengikut undang-undang kerajaan Malaysia, yang layak menerima royalti
ialah hasil yang diperolehi di kawasan tiga batu nautika ke laut. Itulah
pendirian kerajaan tertakluk kepada undang-undang kerajaan Malaysia dan kita ada cara untuk menangani masalah itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr
Awang Adek Hussin berkata tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang disenaraikan mengenai
isu royalti itu menunjukkan pihak pembangkang tidak yakin dengan tuntutan
royalti itu akan memihak kepada mereka mengikut Akta Petronas 1974.
"Jadi yang menariknya (kita) harus menerima hakikat bahawa sebenarnya
Kelantan mengikut undang-undang ini tidak layak menerima royalti ini, sebab itu dia nak bentangkan rang undang-undang pindaan (Akta Petronas 1974) ini,"
katanya. BERNAMA