Pertimbangan Yang Wajar Untuk Masa Depan

Diterbitkan: Sabtu, 19 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA: Esok (Sabtu), tiga parti terbesar di luar Barisan Nasional (BN) iaitu PAS, PKR dan DAP akan berhimpun di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dari jam 8 pagi hingga 6 petang untuk mengesahkan kewujudan mereka sebagai sebuah pakatan yang formal sepertimana BN.

Syabas dan tahniah kepada Pakatan Rakyat. Sama ada nama ini akan kekal dalam format yang formal nanti atau digantikan dengan nama lain adalah tidak relevan buat masa ini.

Dengan cogankata “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”, konvensyen yang julung-julung kalinya akan diadakan itu setidak-tidaknya memperlihatkan iltizam ketiga-tiga parti ini untuk menjadi pesaing BN yang serius menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dengan berbaik sangka bahawa pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai sebuah gabungan tidak akan mengalami sebarang ‘hiccup’ atau tersedu dan diluluskan oleh pejabat Pendaftaran Malaysia, maka lanskap politik Malaysia tidak akan sama lagi selepas ini.

Menjelang pilihan raya akan datang, iaitu yang ke-13, politik Malaysia akan menjadi sepertimana politik Amerika - dalam konteks kerajaan alternatif.

Walaupun Amerika dikenali sebagai bapa demokrasi tetapi hakikatnya ialah hanya dua buah parti sahaja yang mendominasi lanskap politik nasionalnya. Parti-parti itu ialah Demokrat yang kini menguasai White House dan parti Republikan yang sebelum ini menduduki White House. Dan begitu juga di Senat.

Sebelum pilihan raya yang lalu, iaitu yang ke-12, PAS, PKR dan DAP tidak berhasrat untuk menduduki Putrajaya. Mereka hanya hendak menjadi pembangkang yang kuat sahaja.

Malah ketika merasmikan Konvensyen PKR Sarawak minggu lalu, Anwar Ibrahim sendiri mengakui yang parti itu tidak teliti ketika meletakkan calon mereka pada pilihanraya yang lalu. Mungkin kerana tidak menyangka akan menang di lima negeri. Dan pada setengah-setengah tempat, calon yang dilabelkan sebagai ‘tangkap muat’ sahaja ini menang.

BN dinafikan majoriti dua pertiga di parlimen dan lima negeri dikuasai sama ada oleh PAS, PKR atau DAP.

Oleh kerana set minda mereka hanya untuk menjadi pembangkang yang kuat, ketiga-tiga parti ini sama ada tidak terfikir ataupun belum bersedia berfungsi sebagai sebuah gabungan yang formal.

Sebab itulah, hari ini kita dapati, negeri-negeri yang diperintah oleh parti-parti ini seperti ada ‘pertembungan’ dan masalah di sana-sini. Mereka seringkali mengeluarkan arahan atau kenyataan yang bercanggah kerana tidak ada satu polisi atau dasar yang dikongsi bersama secara formal.

Hakikat ini disedari. Jika tidak maka konvensyen sepertimana yang akan diadakan Sabtu ini tidak akan terjadi.

Malah gabungan tiga parti ini juga telah muncul dengan logo baru mereka iaitu bunga raya yang dikelilingi oleh tiga imej manusia yang berpegangan tangan erat sebagai satu pakatan.

Dan berdasarkan iklan yang dipaparkan dalam laman blog Anwar sendiri, nampaknya pakatan baru yang formal ini sudahpun mempunyai mottonya iaitU 3B - BERPADU, BERUBAH, BERKAT.

Lahiriahnya, pada kulit, semuanya sudah tersedia. Yang belum diketahui lagi ialah dasarnya dan halatujunya. Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong berkata, konvensyen pertama PR ini akan diraikan secara besar-besaran. Ia melambangkan satu kemunculan kuasa baru dalam politik negara.

Hakikatnya ialah, ia bukan lagi satu perlambangan tetapi satu realiti baru.

Rakyat pada keseluruhannya, tidak kira sama ada yang berkecuali atau yang menjadi anggota mana-mana parti politik ingin mengetahui apakah dasar yang akan dibawa oleh gabungan baru ini.

Ini kerana di atas kertas, PAS, PKR dan DAP mempunyai halatuju yang berbeza.

Jika gabungan ini hendak berjaya, nampaknya mereka kenalah bersedia mengenepikan perbezaan ini demi masa depan dan survival gabungan.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan para pemimpin mereka menjelang konvensyen ini, nampaknya mereka sanggup mengenepikan apa jua perbezaan yang selama ini menjadi batu penghalang.

Dan jika konvensyen ini berjaya menerima satu dasar bersama yang mampu menawarkan alternatif kepada rakyat Malaysia, maka BN mempunyai sebab untuk merasa tercabar sebagai satu-satunya gabungan parti politik yang memerintah Malaysia sejak merdeka.

Cuma tidak sepertimana BN yang menyaksikan Umno sebagai tunggak atau tulang belakangnya, gabungan baru ini masih belum jelas siapakah yang bakal menjadi parti yang dominan.

Jika pakatan ini ada kelemahannya maka inilah kelemahannya yang sebenar - iaitu tidak ada satu parti dominan yang menjadi tunggak gabungan.

Parti yang menjadi dominan dalam sesebuah gabungan ada baiknya. Ia menawarkan kestabilan dalam pemerintahan dan tidak mudah menjadi mangsa ‘peras ugut’ oleh parti kecil.

Inilah yang seringkali berlaku di India dan juga Pakistan. Kerajaan gabungan yang sama kuat atau tiada parti yang dominan tidak bertahan lama. Tumbang selepas enam atau 12 bulan memerintah.

Namun begitu dalam konteks PR, adalah terlalu awal untuk menentukan ini semua.

Jika esok, ketiga-tiga wakil parti yang berucap dan perwakilan yang berbahas hanya mengulangi perkara yang serupa, maka di penghujung konvensyen ia akan menjadi sekadar satu retorika semata-mata.

Yang kita semua hendak tahu dan nanti-nantikan ialah apakah dia dasar yang akan diterimapakai oleh gabungan baru yang formal ini.

Contohnya, rakyat Malaysia sudah jelak keesokan paginya, Karpal Singh berkata “langkah mayat saya dahulu jika hendak buat sebuah negara Islam” dan Haji Hadi dan Nik Aziz pula berkata mereka tetap dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara Islam ala Iran.

Jika kenyataan-kenyataan seperti ini terus dilaungkan, maka tidak ada gunakan konvensyen ini diadakan.

Juga adalah satu pertanyaan yang munasabah, apakah sikap dan pendirian gabungan ini terhadap isu-isu tertentu yang seringkali diperdebatkan seperti keistimewaan hak-hak orang Melayu memandangkan kaum Melayu adalah kaum dominan atau majoriti di Malaysia.

Begitu juga pendirian gabungan ini ke atas bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, agama rasmi negara dan lain-lain aspek penting yang selama ini menjadi tonggak kepada negara kita Malaysia.

Ini semua merupakan pertanyaan dan perasaan ingin tahu yang rasional kerana sebagai pengundi kita semua berhak mengetahui dengan jelas apakah yang hendak ditawarkan oleh gabungan baru ini bagi masa depan rakyat Malaysia.

Hanya dengan itu barulah kita semua boleh membuat satu pertimbangan yang wajar untuk masa depan negara ini dan juga kita sendiri.

Selamat Bersidang...

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan