Cerun Bahaya Sekitar Lembah Kelang Dikenal Pasti - Berita Semasa | mStar

Cerun Bahaya Sekitar Lembah Kelang Dikenal Pasti

Diterbitkan: Sabtu, 19 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAMPIN: Hasil kajian awal mengenai cerun-cerun yang berbahaya meliputi kawasan seluas 100 kilometer persegi di sekitar Lembah Klang telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diambil tindakan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, hasil kajian itu mampu membantu PBT mengenal pasti dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan tehadap cerun yang didapati berisiko terdedah kepada kejadian tanah runtuh.

Menurutnya, kajian itu untuk tujuan pemetaan melibatkan kawasan yang terletak di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

"Kajian itu membolehkan kerajaan merancang pembangunan dengan lebih selamat selepas mengenal pasti lokasi berisiko tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah dan saguhati kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini hari ini.

Shaziman berkata, kajian itu yang menelan belanja RM5.5 juta itu, telah mengenal pasti 583 cerun dan tanah berbahaya di sekitar Lembah Klang dengan 215 hingga 250 daripada cerun tersebut memerlukan perhatian dan tindakan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kajian itu melibatkan peringkat permukaan dan bukan satu kajian geologi atau kestabilan cerun.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementeriannya telah menerima laporan mengenai kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, Jun lepas.

Katanya, hasil laporan itu akan dimaklumkan kepada orang ramai selepas ia dibincangkan oleh Kabinet. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan