Sultan Kedah: Umat Islam Di Malaysia Mesti Bersatu

Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua, kiri) berkenan melihat pingat anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 hijrah yang diperolehi Pengerusi Kumpulan FELDA, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor (kanan) selepas disampaikan baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. Turut serta seorang lagi tokoh Maal Hijrah iaitu Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej. Jen Datuk Jamil Khir Baharom (tiga, kiri).- Foto BERNAMA.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua, kiri) berkenan melihat pingat anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 hijrah yang diperolehi Pengerusi Kumpulan FELDA, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor (kanan) selepas disampaikan baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. Turut serta seorang lagi tokoh Maal Hijrah iaitu Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej. Jen Datuk Jamil Khir Baharom (tiga, kiri).- Foto BERNAMA.

PUTRAJAYA: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menitahkan masyarakat Islam di negara ini bersatu dan terus mengorak langkah untuk menjadi umat contoh.

Baginda yang juga Sultan Kedah bertitah, umat Islam mesti meletakkan kepentingan syariat mengatasi segala-galanya kerana hanya dengan berbuat demikian mereka akan terselamat daripada pelbagai gangguan, tohmahan, pergeseran dan perpecahan.

"Umat Islam hendaklah sentiasa menanam rasa kasih sayang antara satu sama lain. Sebarang bentuk perbezaan pendapat yang boleh merugikan dan memecahbelahkan ummah haruslah diselesaikan dengan baik dan bijaksana,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1431 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tuanku Abdul Halim turut menyeru umat Islam menjadikan peristiwa hijrah sebagai titik permulaan untuk melakukan perubahan bagi memantapkan ukhwah agar dapat membina umat yang terbilang.

"Mudah-mudahan dengan ukhwah yang terjalin kukuh, kita mampu menjadi sebuah umat yang terbilang dan sentiasa mendepani cabaran semasa.

"Hanya melalui ketulusan hati dan iman yang kukuh sahaja dapat menjana kembali persaudaraan dan kecintaan kepada Islam," titah baginda.

Titah Sultan Kedah, umat Islam perlu mencontohi sifat dan akhlak terbaik Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat Baginda.

"Contohilah sikap, semangat, kepimpinan yang telah dijana oleh Baginda yang telah terbukti mampu menghasilkan keadilan, ketulusan dan kebenaran.

"Oleh itu, umat Islam sekarang mesti bekerja keras untuk menguasai segala kekuatan, kehebatan dan keunggulan yang pernah dimiliki oleh umat Islam dulu.

Sehubungan itu, baginda bertitah umat Islam perlu melakukan transformasi bagi mengangkat dan memartabatkan semula umat Islam di persada keagungan.

“Pada ketika itu umat dan negara kita akan sentiasa dihormati dan dicontohi,” titah baginda.

Justeru, umat Islam perlu memperkukuhkan kembali ikatan persaudaraan yang sebenar, titah baginda.

"Hanya melalui ikatan ukhwah yang kukuh akan dapat memastikan kelangsungan ummah yang utuh. Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan agar hasrat ini tercapai," titah baginda.

Sementara itu, 'Memantap Ukhwah, Memperkasa Ummah' dipilih sebagai tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan