Tarikh Serah KPI: Tiada Menteri Yang Lewat

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon hari ini menafikan laporan bahawa 10 menteri gagal memenuhi tarikh akhir Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian masing-masing.

Beliau berkata, semua menteri telah menyiapkan laporan mereka, namun pembentangan mereka terpaksa ditangguhkan kerana jadual kerja yang padat dan cuti hujung tahun yang perlu dihabiskan,

Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dijangka bertemu dengan beberapa menteri terbabit dalam masa terdekat dan selebihnya bulan depan.

“Tidak timbul persoalan ada menteri yang ada masalah di sini. Jika dilihat mengikut standard KPI yang digunakan, kita adalah yang paling pantas. Jika kamu tanya kepada sektor swasta ia akan mengambil masa yang lebih lama antara satu hingga lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan hari terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Bandar Sunway di sini hari ini.

Ahad lalu, sebuah portal berita melaporkan 10 menteri gagal memenuhi tarikh akhir KPI masing-masing selepas enam bulan Perdana Menteri memperkenalkan KPI bagi menilai prestasi Jemaah Menteri.

Koh yang juga Pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, pertemuan antara menteri dengan Perdana Menteri itu nanti bukanlah proses penilaian prestasi.

“Pada ketika ini, Perdana Menteri hanya mengadakan perbincangan dengan menteri terbabit berhubung pelan pelaksanaan yang telah dicadangkan dan berapa bajet yang diperlukan. Ia bukan proses penilaian (prestasi). Sekali lagi sumber yang melaporkan berita itu adalah tidak tepat,” katanya.

Koh berkata, beliau akan mengumumkan hasil penilaian KPI bagi tempoh enam bulan pada bulan Jun tahun hadapan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala berkata, tiada kelewatan yang wujud dalam proses penilaian prestasi semua jemaah menteri.

“Laporan yang mendakwa 10 menteri gagal menyiapkan KPI mereka saya tak faham bagaimana berita itu boleh dilaporkan. Ia (laporan itu) tidak tepat,” tambahnya.

Sementara itu, mengenai kelewatan berhubung penyebaran konsep 1Malaysia sehingga ada pihak yang mempolitikkanya, Koh berkata : “Sekali lagi sumber itu tidak tepat.”

Lagi pun, menurutnya, insiatif itu terkandung di dalam NKRA.

Pada perbincangan bengkel Kabinet mengenai NKRA dan KPI, Koh memberitahu, semua menteri telah bersetuju untuk memberi input mengenai perpaduan dan mereka mahu lebih banyak program mengenainya dijalankan.

“Penyebaran tentang konsep 1Malaysia dlaam insiatif itu terpaksa ditunda kerana mereka mahu adakan lebih banyak program.

“Itu adalah tujuannya. Mana-mana sumber yang mendedahkannya tidak akan mencerminkan apa sebenarnya yang berlaku dalam isu tersebut,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan