Pelan Hala Tuju Program Tansformasi Kerajaan 1Malaysia Dilancarkan Hujung Tahun Depan

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelan Hala Tuju Program Tansformasi Kerajaan 1Malaysia (GTP 1Malaysia) akan dilancarkan pada penghujung tahun depan selepas kerajaan menerima cadangan dan maklum balas daripada orang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, jadual pelaksanaan GTP 1Malaysia itu akan turut dipaparkan dalam laman web Unit Pengurusan dan Penyampaian Prestasi (Pemandu).

Bagaimanapun beliau berkata, dokumen tersebut bukannya satu dokumen akhir kerana kerajaan akan sentiasa menerima maklum balas daripada orang awam dalam pelaksanaan Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Kita tidak akan berhenti di sini. Kita akan sentiasa bekerjasama dan mendapatkan maklum balas daripada orang awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka GTP di sini hari ini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor dan Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam.

Menurut Koh, hari terbuka yang diadakan itu merupakan cara terbaik untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung kaedah dan inisiatif yang digunakan dalam pelaksanaan NKRA secara spesifik.

“Kerajaan komited melaksanakan perubahan dam usaha penyampaian secara besar-besaran dengan sasaran untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Dengan maklum balas yang diterima, kami berharap dapat mengukuhkan pelan penyampaian secara jelas mengikut ukuran yang telah ditetapkan,” katanya.

Koh, yang juga Pengerusi Pemandu berkata, walaupun belum sampai setahun usianya, pendekatan GTP menerusi NKRA telah mencapai banyak kejayaan.

Jelasnya, program yang amat komprehensif itu belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara lain.

“Kemajuan yang dicapai dalam jangka masa kurang daripada lapan bulan adalah bukti komitmen Perdana Menteri dan usaha bersepadu semua menteri, agensi, jabatan dan anggota perkhidmatan awam.

“Kerajaan komited dalam melaksanakan program transformasi sebagai agenda utamanya berdasarkan pendakatan dan falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” ujarnya.

Koh berkata, hari terbuka yang serupa akan diadakan di Kuching dan di Kota Kinabalu pada Januari depan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Senator Datuk Seri Idris Jala berkata, pegawai perkhidmatan awam dan rakyat adalah rakan kongsi dalam pelaksanaan insiatif ini.

“Hari terbuka ini merupakan landasan kepada mereka untuk menyaksikan pelan-pelan tindakan dan inisiatif yang digubal oleh peserta makmal di samping memberi maklum balas dan cadangan.

“Maklum balas mereka akan digunakan untuk mengesahkan keputusan makmal sebelum pelaksanaan dibuat,” ujarnya.

Idris berkata, lebih 250 penjawat awam daripada pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negara terlibat dalam makmal dan mereka bukan sahaja mengenalpasti langkah penyelesaian yang radikal untuk merealisasikan NKRA.

Menurutnya, lebih 7,000 inisiatif aktiviti dengan lebih 2,000 projek dan 100 program telah dikenal pasti bagi enam NKRA yang dipamerkan kepada orang awam dalam tempoh dua hari ini.

April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, memperkenalkan pendekatan KPI untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota Kabinetnya sebagai satu langkah pembaharuan serta mendahulukan rakyat dalam usaha membangunkan negara .

Berikutan itu, enam menteri kanan dilantik menerajui bidang-bidang bagi mencapai matlamat indeks KPI secara lebih berkesan.

Enam teras NKRA ialah membabitkan usaha mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan penambahbaikan pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran), manakala bagi mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Bagi NKRA untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan