Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 Dilanjutkan Lima Tahun Lagi - Berita Semasa | mStar

Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 Dilanjutkan Lima Tahun Lagi

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Usul untuk melanjutkan penguatkuasaan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi tempoh lima tahun lagi mulai 15 Jun 2010 yang dibentang oleh Kementerian Dalam Negeri diluluskan tanpa bahas pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata sejak akta itu digubal dan dikuatkuasa pada 15 Jun 1985, ia banyak membantu kerajaan membanteras kegiatan pengedaran dadah di negara ini.

"Sekiranya tidak dilanjutkan, semua tahanan perlu dilepaskan serta-merta. Ini akan menyebabkan usaha kerajaan memerangi dan mencegah aktiviti pengedaran dadah menjadi sia-sia," katanya ketika membentangkan usul itu.

Abu Seman berkata akta itu memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah tahanan tidak melebihi dua tahun kepada mereka yang didapati terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di negara ini.

Beliau berkata sejak akta itu dikuatkuasa, seramai 16,712 orang termasuk 18 rakyat asing dikenakan perintah tahanan di pusatpusat pemulihan, tertakluk kepada keseriusan kesalahan, manakala 10,612 orang dikenakan perintah sekatan.

Persidangan Dewan disambung hari ini. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan