Setengah Juta Penduduk Perak Belum Daftar Sebagai Pemilih

Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kira-kira 500,000 daripada 2.37 juta penduduk Perak yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pemilih terutama golongan muda yang berumur 21 tahun ke atas.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah berkata, angka tersebut adalah berdasarkan rekod sehingga April tahun ini.

Beliau berkata, mereka yang layak mengundi sewajarnya mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mendaftar sebagai pemilih bagi memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat.

"Orang ramai masih kurang kesedaran mengenai kepentingan mengundi sedangkan satu undi membawa erti yang besar dalam setiap pilihan raya," katanya kepada pemberita pada majlis menyerahkan kain rentang SPR bagi tujuan promosi daftar pemilih kepada Pos Malaysia cawangan Perak di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Pos Malaysia cawangan Perak, Mohd Azizi Mohd Sanusi berkata, Pos Malaysia ingin membantu kerajaan dalam menjalankan tanggungjawab sosial pada negara dengan menyediakan kemudahan bagi orang ramai mendaftar sebagai pemilih.

"Seperti hari ini, Pos cawangan Perak akan membantu SPR untuk mencapai objektif yang disasarkan pada tahap minima melalui 84 pejabat pos di seluruh negeri yang beroperasi untuk menyediakan perkhidmatan ini (pendaftaran pemilih)," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan