Rang Undang-Undang Cukai Barang Dan Perkhidmatan 2009 Dibentang Di Parlimen

Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi mengenakan dan memungut cukai barang dan perkhidmatan (CBP) dan bagi perkara berkaitan dengannya, dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membentangkan rang undang-undang yang mempunyai 201 fasal dan 18 bahagian itu untuk bacaan kali pertama.

Rang undang-undang itu akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang pada masa ini dikenakan dan dipungut di bawah Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Menurut rang undang-undang itu, cukai barang perkhidmatan ialah suatu cukai kepenggunaan berasas luas yang berdasarkan konsep nilai tambah.

Berbeza dengan cukai jualan ketika ini yang merupakan cukai seperingkat, cukai barang dan perkhidmatan ialah cukai berperingkat, dan pembayaran cukai dibuat dalam berbilang peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengagihan.

Rang undang-undang tersebut juga menyatakan bahawa cukai itu sendiri bukan suatu kos kepada perantara dan tidak ditunjukkan sebagai butiran perbelanjaan dalam penyata kewangannya.

Menurut rang undang-undang itu, CBP meliputi semua sektor industri dan ialah suatu cukai ke atas penggunaan terakhir barang dan perkhidmatan, dan ia dipungut melalui suatu sistem kredit yang ditanggung atas input diimbangkan terhadap CBP yang dikenakan ke atas output. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan