KPT Lancarkan Buku Perkasa Kokurikulum Berkredit - Khaled

Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini memperkasakan pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi pelancaran sebuah buku di sini hari ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buku bertajuk 'Pembangunan pelajar: Memperkasakan Kokurikulum Institusi Pengajian Tinggi' itu dihasilkan untuk membantu penambahbaikan pelaksanaan kursus.

Katanya, ini sekali gus menjana graduan minda kelas pertama dan meningkatkan kebolehpasaran graduan kita di peringkat global.

"Kita bukan sahaja memberi perhatian terhadap pendekatan yang perlu dilakukan dalam aktiviti kokurikulum tetapi dari segi penyelarasan dari segi kualiti, pemberian kredit dan sebagainya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu dan pelancaran buku tersebut di sini hari ini.

KPT telah memperkenalkan lapan teras utama kokurikulum iaitu keusahawanan, kepimpinan, sukan, kebudayaan, daya usaha dan inovasi, pengucapan awam, kesukarelawanan dan khidmat komuniti.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled memberitahu, pelaksanaan kursus tersebut selama ini adalah mengikut acuan IPT masing-masing sehingga timbul isu ketidakselarasan dalam pemberian kredit.

"Kementerian berpendapat ia perlu diberi perhatian sewajarnya memandangkan terdapat kursus di mana pelajar tertentu memperolehi jam pembelajaran pelajar serta hasil pembelajaran yang sama.

"Bagaimanapun, pelajar terbabit mendapat penganugerahan kredit yang berbeza antara satu IPT dengan IPT yang lain," jelas beliau.

Mohamed Khaled menambah, keselarasan dalam konteks piawaian penyampaian, penilaian dan penaksiran penting bagi memastikan pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit itu mencapai objektifnya selain menjamin kualitinya.

"Jabatan Pengajian Tinggi telah diarahkan untuk bertindak sebagai pemudahcara untuk menentukan standard prosedur pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit mengikut keupayaan dan keunikan (niche area) di setiap IPT masing-masing," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled mencadangkan IPT yang belum mempunyai pusat kokurikulum agar menubuhkan pusat tersebut bagi memudahkan penyelarasan.

"Sebaik-baiknya semua pusat kokurikulum diletakkan di bawah bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kerana ia memantau kebanyakan aktiviti dan program pelajar," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kursus kokurikulum seharusnya menjadi sebahagian daripada kursus wajib dalam setiap program pengajian di IPT tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Senat IPT masing-masing.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan