Dari Krisis Rumah Tangga ke Krisis Perebutan Takhta

Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isu sensasi yang menyelubungi Istana Kelantan ekoran pergolakan rumah tangga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan model Indonesia, Manohara Odelio Pinot kini beralih ke satu episod baru apabila Tengku Fakhry mencabar kekandanya di mahkamah pula.

Dan tindakan Tengku Temenggong Kelantan itu bakal mencetuskan krisis baru dalam pergolakan dalaman istana di negeri Serambi Mekah itu.

Hari ini, Tengku Fakhry mencabar keputusan kekandanya, Pemangku Sultan Kelantan yang membatalkan kedudukan beliau sebagai Ahli Majlis Perajaan negeri itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof hari ini menetapkan 31 Disember ini bagi keputusan permohonan yang dikemukakan oleh Tengku Temenggong.

Majlis Perajaan merupakan badan yang bertanggungjawab mengesahkan penabalan waris dan kedaulatan kerajaan negeri itu selain menentukan kekosongan takhta jika sultan tidak dapat menjalankan tugasnya dalam tempoh masa yang lama atas sebab-sebab tertentu.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, merupakan anakanda ketiga Sultan Kelantan dan merupakan seorang lagi waris bagi takhta di istana negeri.

Beliau dipilih oleh ayahandanya menganggotai majlis berkenaan kira-kira lapan tahun lalu.

Sementara itu, ketua peguamnya K. Shanmuga berkata, tindakan Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra, 35, itu dilihat dalam keadaan tertentu sebagai cuba merampas kuasa sultan.

“Perlembagan Negeri Kelantan jelas menyatakan, hanya sultan yang berhak mengubah kedudukan ahli di dalam majlis tersebut.

“Tengku Mahkota hanya memangku takhta selama mana sultan uzur," katanya selepas menyerahkan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan pemangku Sultan Kelantan itu.

Dalam kenyataan permohonan semakan berkenaan menyebut, Sultan Kelantan gering sejak Mei yang menyebabkan Tengku Mahkota dilantik sebagai pemangku pada 25 Mei.

Baginda dimasukkan ke hospital di Singapura sejak bulan itu tetapi baginda dilaporkan semakin pulih.

Shanmuga berkata, memang Tengku Mahkota merupakan pewaris utama takhta Kelantan. Bagaimanapun pelantikannya bukan secara automatik sebaliknya perlu disahkan kedaulatan pemerintahannya oleh Majlis Perajaan.

“Jika beliau tidak disahkan, maka adiknya Tengku Bendahara sebagai pewaris kedua berhak disahkan oleh majlis berkenaan dan jika itu tidak berlaku maka pewaris seterusnya iaitu Tengku Temenggong berhak mewarisi takhta,” jelasnya.

Dalam permohonannya yang difailkan pada 1 Disember lalu, Tengku Muhammad Fakhry menamakan kekandanya, Tengku Mahkota; kerajaan negeri, setiausaha Majlis Perajaan dan lima yang lain iaitu ahli majlis terbabit yang dilantik oleh pemangku sultan pada 24 Mei lalu sebagai responden.

Dalam kenyatannya, Tengku Fakhry ketika itu mendakwa bahawa Tengku Mahkota dipilih oleh majlis berdasarkan Artikel 22A Perlembagaan Kelantan semasa sultan tidak berupaya menghadiri hal ehwal kerajaan negeri.

Beliau mendakwa pernah menulis surat pada 25 Oktober kepada setiausana majlis bagi mendapat penjelasan mengenai tindakan melucutkan kedudukannya dalam majlis dan surat itu dijawab pada 26 Oktober dengan menyebut bahawa ia adalah perintah Tengku Mahkota.

Selain itu, putera sultan berkenaan meminta mahkamah membatalkan keputusan tersebut atau mengisytiharkan bahawa pembatalan pelantikan adalah bertentangan dengan perlembagaan negeri.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi yang mewakili responden dalam bantahannya berkata bahawa Tengku Mahkota mempunyai kuasa mutlak untuk melucut keahlian mana-mana ahli majlis.

Beliau berkata, keputusan itu tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah kerana tindakan itu merupakan prerogatif diraja yang tidak boleh dibicarakan.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan