6,101 Permohonan Tanah Lulus Di Perlis

Diterbitkan: Rabu, 16 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Sebanyak 6,101 daripada 7,684 permohonan hak milik tanah telah diluluskan di Perlis antara tahun lalu sehingga November lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tanah dan Perhutanan Negeri, Mat Rawi Kassim, jumlah permohonan yang ditolak adalah sebanyak 1,077 manakala permohonan yang ditangguhkan sebanyak 506 kes.

Menjawab soalan Khairi Hasan (BN Mata Ayer) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini, beliau berkata, permohonan yang ditolak itu disebabkan pemohon tidak berkelayakan berbuat demikian.

Mengenai permohonan yang ditangguhkan, beliau berkata, ia antara lain berpunca daripada pertindihan permohan di atas tanah yang sama.

Bagaimanapun, Mat Rawi berkata, permohonan yang ditangguhkan akan tetap diproses selepas semakan dilakukan ke atas tanah dan pemohon.

Kepada soalan Mat bin Hassan (BN Kuala Perlis), Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Jafperi Othman berkata, perancangan untuk menaik taraf tanah perkuburan Islam di kawasan masjid seluruh Perlis sedang dilakukan.

"Bagi memastikan kawasan tanah perkuburan ini berada dalam keadaan tersusun, kemas, bersih dan terurus, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis mengadakan program latihan kepada pegawaipegawai masjid berkaitan pengurusan tanah perkuburan dan landskap," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Ahmad Bakri Datuk Ali ketika menjawab soalan Khairi berkata sebanyak 471,399 pelancong telah melawat Perlis antara Januari dan Oktober tahun ini.

Destinasi-destinasi di Perlis yang menjadi tumpuan utama pelancong adalah Padang Besar, Wang Kelian, pusat pelancongan sekitar Sungai Batu Pahat dan Kuala Perlis. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan