Kos Operasi Dua Kapal Selam RM290 Juta Setahun

Diterbitkan: Selasa, 15 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kos operasi dua kapal selam termasuk penyenggaraan dianggarkan berjumlah RM290 juta setahun, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, nilai kontrak perolehan kapal selam berkenaan ialah Euro1.084 bilion (RM5.382 bilion) meliputi harga pembelian dua kapal selam baru, latihan untuk warga kapal selam, pakej bantuan lojistik bersepadu dan alat ganti serta penyediaan kemudahan pelatih kapal selam dan tim projek.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) yang ingin tahu mengenai ancaman yang dihadapi oleh Malaysia yang memerlukan penggunaan kapal selam dan apakah tugas dan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, selain kos penyenggaraannya setiap tahun.

Dr Ahmad Zahid berkata, penggunaan kapal selam bukanlah disebabkan ancaman yang dihadapi oleh negara tetapi lebih kepada keupayaan memberi cegah rintang kepada bakal musuh.

"Pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersandarkan kepada 'capability based' yang harus dimiliki untuk melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi pada masa hadapan," katanya.

Menurut beliau, keupayaan negara menyediakan satu angkatan perang yang moden dan berwibawa untuk memusnahkan angkatan musuh akan menggerunkan musuh malah mereka akan lebih berhatihati sebelum membuat sebarang perkiraan yang kurang rasional untuk mengancam dan menyerang negara ini.

Beliau berkata, kehadiran kapal selam yang canggih dalam inventori negara akan memberi impak yang besar terhadap pertahanan negara kerana keupayaan kapal selam yang boleh beroperasi di mana sahaja di bawah permukaan dengan senyap akan menyukarkan pihak musuh untuk mengesan kedudukan kapal selam tersebut.

"Kehadiran kapal selam juga dapat meningkatkan keupayaan peperangan bawah air TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) dan menjadikan ia sebuah angkatan yang lebih seimbang, kredibel dan berwibawa," katanya.

Sementara itu, berhubung dengan petunjuk prestasi utama (KPI) TLDM, Dr Ahmad Zahid berkata untuk menentukan keselamatan dan perairan negara sentiasa terpelihara, kapal selam akan dioptimumkan untuk menyokong KPI tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan