Buku Panduan Jam Kredit Kokurikulum IPT Dilancar

Diterbitkan: Selasa, 15 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini melancarkan buku panduan penyelarasan pemberian jam kredit kokurikulum untuk institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini.

Buku panduan bertajuk 'Pembangunan pelajar: Memperkasakan Kokurikulum Institusi Pengajian Tinggi' perlu memandangkan terdapat kursus yang sama antara IPT tetapi pelajar-pelajar memperoleh jam kredit yang berbeza antara pusat pengajian tinggi masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian bukan sahaja memberi perhatian terhadap pendekatan yang perlu dilakukan dalam aktiviti kokurikulum tetapi dari segi penyelarasan, kualiti dan pemberian kredit.

"Ini sekali gus mampu menjana graduan minda kelas pertama dan meningkatkan kebolehan pasaran graduan negara di peringkat global dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu dan pelancaran buku tersebut di sini hari ini.

KPT telah memperkenalkan lapan teras utama kokurikulum iaitu keusahawanan, kepimpinan, sukan, kebudayaan, daya usaha dan inovasi, pengucapan awam, kesukarelawanan dan khidmat komuniti.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled memberitahu, pelaksanaan kursus tersebut selama ini adalah mengikut acuan IPT masing-masing sehingga timbul isu ketidakselarasan dalam pemberian kredit.

Beliau menambah, keselarasan dalam konteks piawaian penyampaian, penilaian dan penaksiran penting bagi memastikan pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit itu mencapai objektifnya selain menjamin kualitinya.

"Jabatan Pengajian Tinggi telah diarahkan untuk bertindak sebagai pemudahcara untuk menentukan standard prosedur pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit mengikut keupayaan dan keunikan di setiap IPT masing masing," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled mencadangkan IPT yang belum mempunyai pusat kokurikulum agar menubuhkan pusat tersebut bagi memudahkan penyelarasan.

"Sebaik-baiknya semua pusat kokurikulum diletakkan di bawah bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kerana ia memantau kebanyakan aktiviti dan program pelajar," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kursus kokurikulum seharusnya menjadi sebahagian daripada kursus wajib dalam setiap program pengajian di IPT tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Senat IPT masing-masing.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan