2009 Meninggalkan Umno Lebih Tenang Dan Kukuh

Diterbitkan: Isnin, 14 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketika usia tahun 2009 semakin menghampiri penghujungnya, Umno kelihatan kembali tenang dan kukuh hasil daripada proses peralihan teraju kepimpinannya yang berjalan lancar dan tersusun, setelah melalui detik-detik mendebarkan berikutan pemilihan parti itu pada Mac.

Ini merupakan antara hadiah paling berharga bagi parti politik terbesar umat Melayu itu setelah banyak penganalisis dan pemerhati politik meramalkan ia akan mengalami kehancuran berdasarkan keputusan pilihan raya umum pada Mac 2008.

Bagaimanapun, ramalan negatif ini hanya tinggal sebagai ramalan semata-mata apabila Umno telah berjaya bangun semula dengan lebih bertenaga. Semangat serta keyakinan baru yang diperoleh parti itu bagi menghadapi pelbagai cabaran daripada saki- baki kesan tsunami politik yang melandanya pada tahun lepas, banyak dipengaruhi kekuatan semangat dan komitmen bekas presidennya Tun Abdullah Ahmad Badawi serta pengganti beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kesediaan Abdullah mempercepatkan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib dari Jun tahun depan ke tahun ini, telah membantu mengubati perpecahan yang melanda parti itu dan memberi peluang kepada kepimpinan barunya untuk mengatur pelbagai pembaharuan.

Ketika berucap bagi kali terakhir sebagai presiden Umno pada hari terakhir perhimpunan agung parti itu, Abdullah, yang menyerahkan jawatan presiden parti secara rasmi kepada Najib pada 28 Mac, menyeru anggota parti itu supaya kembali bersatu serta saling memaafkan dan melupakan peristiwa yang telah berlaku.

Najib, yang menyedari bahawa Umno perlu segera dipulihkan, berikrar di hadapan 2,000 anggota parti itu bahawa beliau akan berusaha sedaya upaya bagi melaksanakan perubahan dalam Umno agar parti itu kembali diterima secara lebih menyeluruh oleh rakyat. Dalam ucapan penerimaannya, presiden ketujuh Umno itu mencadangkan agar beberapa pindaan dibuat terhadap perlembagaan parti berkenaan bagi mencegah amalan politik wang dan menjadikannya lebih bersifat inklusif.

Ucapan beliau disambut baik oleh anggota perwakilan, manakala tokoh Umno yang amat berpengaruh iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, mengejutkan banyak pihak apabila beliau muncul pada hari terakhir perhimpunan agung parti itu.

Bekas presiden Umno ini, yang tidak menghadiri beberapa perhimpunan agung Umno sebelum beliau meninggalkan Umno pada 19 Mei 2009, juga memainkan peranan penting dalam membawa perubahan dalam barisan kepimpinan Umno melalui kritikannya terhadap pemimpin parti itu.

Pada pemilihan jawatan tiga hari sebelum itu, Umno menyaksikan perubahan pucuk pimpinan dalam ketiga-tiga sayapnya dan kebanyakan peramal politik mungkin bangga kerana ramalan mereka berhubung pemilihan jawatan tertinggi dalam Umno, menjadi kenyataan.

Seperti yang diramalkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalahkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib bagi jawatan timbalan presiden, manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipilih sebagai naib presiden. Pemilihan itu juga menyaksikan berakhirnya era Datuk Seri (kini Tan Sri) Rafidah Aziz sebagai Ketua Wanita Umno apabila beliau dikalahkan bekas timbalannya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti 227 undi.

Bagaimanapun, Pemuda Umno menerima kejutan apabila calon kontroversi bagi jawatan ketuanya, Khairy Jamaluddin, mengalahkan calon pilihan Datuk Mukhriz Mahathir dan seorang lagi calon Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, manakala anggota Puteri Umno pula memilih Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin sebagai ketua baru mereka.

Pendirian Dr Mahathir yang merestui barisan kepimpinan baru itu terpamer apabila beliau memohon untuk kembali menyertai Umno pada 4 April dan tindakan beliau itu dilihat oleh penganalisis politik mampu mengukuhkan semula parti berkenaan.

Bagi mengukuhkan Umno di peringkat negeri, Najib memecah tradisi dengan melantik beberapa pemimpin tertinggi parti itu bagi menerajui jawatankuasa perhubungan negeri dan bukan lagi Menteri Besar atau Ketua Pembangkang dalam kes di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah, seperti sebelumnya.

Langkah ini dilihat oleh pemerhati politik sebagai antara cara yang mampu menyelesaikan konflik dalaman Umno di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis dan Terengganu. Tujuh bulan selepas pemilihan parti itu, anggota perwakilan Umno sekali lagi memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, kali ini untuk berbahas serta meluluskan tujuh pindaan terhadap perlembagaan Umno.

Sebagai bukti jelas mereka mahukan perubahan, semua pindaan itu, termasuk pemansuhan sistem kuota bagi pencalonan dan cadangan menambah jumlah anggota perwakilan yang layak mengundi bagi jawatan tertinggi parti, diterima sebulat suara, tanpa perbahasan.

Walaupun ada antara mereka yang melahirkan kebimbangan bahawa langkah memansuhkan sistem kuota itu akan memberi ruang kepada siapa saja dalam parti menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi, namun, dalam ucapan penggulung beliau, Najib berkata langkah itu akan merangsang pemimpin sedia ada untuk bekerja dengan lebih tekun bagi memastikan mereka terus disenangi oleh anggota parti.

"Saya tidak bimbang akan hilang jawatan ini kerana terserahlah kepada anggota untuk menentukan sama ada saya layak mendapat undi mereka. Kalau saya seorang presiden yang baik, mampu berkhidmat dengan baik, saya pasti anggota parti akan membuat keputusan yang betul," katanya.

Berdasarkan pindaan yang dibuat yang kini membolehkan lebih 400,000 anggota layak memilih pemimpin mereka berbanding hanya 2,500 sebelum ini, Umno yakin politik wang dalam parti itu, akhirnya akan berkubur.

Walaupun sesetengah perubahan yang ingin dilakukan itu belum dilaksanakan, namun anggota Umno kelihatan yakin dengan barisan kepimpinan baru mereka kerana setiap pemimpin menunaikan tugas mereka bagi membawa perubahan terhadap parti.

Kini, Umno bolehlah diibaratkan sebuah bahtera yang sedang menuju ufuk baru yang menjanjikan pelbagai kejayaan. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan