Institusi Raja Tak Terlepas Mendapat Liputan Media Sepanjang 2009

Diterbitkan: Ahad, 13 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pertabalan Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz dan sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah antara berita institusi Raja yang mendapat liputan meluas media sepanjang tahun 2009.

Kedua-dua adat istiadat itu menampilkan kekayaan warisan diraja.

Malah istiadat pertabalan Tuanku Muhriz pada Oktober lepas turut mendapat liputan eksklusif saluran antarabangsa, Discovery Networks, yang melibatkan penggambaran sebelum, semasa dan selepas istiadat pertabalan yang diadakan di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Penglibatan aktif Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam kejohanan sukan berkuda baik di peringkat nasional dan antrabangsa turut mendapat perhatian media.

Anakandaanakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail, 10, dan Tengku Nadhirah Zahrah, 12, turut aktif menyertai pertandingan sukan itu.

Tengku Nadhirah Zahrah beserta adinda-adindanya, Tengku Muhammad Mua'az, 8, dan Tengku Fatimatuz Zahra', 7, turut menyertai 500 kanak-kanak dalam larian "Kids Dash", program sampingan Standard Chartered KL Marathon 2009 pada Jun lepas. Di Perak pula, Sultan Azlan Shah terpaksa meleraikan isu mengenai kerajaan yang memerintah apabila empat anggota Dewan Undangan Negeri kerajaan campuran pakatan DAP-Pas-PKR keluar parti pada Februari lepas bagi membolehkan Barisan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah pula sering diundang untuk bertitah di pelbagai persidangan, baik di peringkat nasional serta antarabangsa.

Malah aktiviti kerabat diraja dalam pelbagai badan bukan kerajaan turut mendapat perhatian media termasuk Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, yang bukan sahaja aktif sebagai penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia tetapi juga sebagai penaung Yayasan Tuanku Zahirah yang ditubuhkan bagi memelihara dan memajukan seni kraftangan asli serta warisan Malaysia. Bagi Tunku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, liputan berita mengenainya tahun ini bukan hanya mengenai aktiviti Yayasan Fertiliti Tunku Azizah, ia juga meliputi berita baginda serta lima anakandanya, berumur tujuh hingga 14 tahun, yang dijangkiti Influenza A (H1N1) pada Ogos lepas dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra, yang mengalami masalah jantung, dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan pada 14 Mei turut mendapat liputan.

Pada 24 Mei, baginda telah dipindahkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura untuk mendapat rawatan lanjut. Sepanjang tahun 2009 ini juga, dapat dilihat kemunculan bakal pewaris-pewaris takhta negeri yang masih muda dalam upacara-upacara rasmi, di samping upacara tidak rasmi berbentuk program kemasyarakatan untuk mendekatkan diri dengan rakyat jelata.

Antaranya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Johor Tunku Ismail Idris ibni Tunku Ibrahim Ismail dan pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Dalam usia belasan tahun, kerabat di raja ini telah diasuh dari awal untuk memikul tanggungjawab besar dalam pentadbiran negeri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan