Media Perlu Rujuk Dengan Jawatankuasa Khas MCA Mengenai Perkembangan Terbaru

Diterbitkan: Sabtu, 12 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata orang ramai dan media perlu merujuk dengan jawatankuasa khas parti MCA berhubung perkembangan dalam soal tarikh pemilihan baru parti itu.

"Apa jua perkara mengenai MCA yang diserahkan kepada jawatankuasa itu, biarkan jawatankuasa itu yang memaklumkannya kepada media, kita tidak perlu mempunyai begitu ramai jurucakap. Ini merupakan bidang kuasa jawatankuasa itu.

"Setiap hari saya berhubung dengan para pemimpin parti... biar jawatankuasa itu mengendalikannya. Jadi, tiada apa-apa perkembangan yang boleh saya huraikan, untuk saya katakan. Hari ini, saya (mahu) tumpukan perhatian mengenai Pandan (masalah kawasan Parlimennya)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan premis baru pusat khidmat Parlimennya di sini hari ini.

Jawatankuasa khas bagi pemilihan baru MCA itu mengadakan mesyuarat kedua malam tadi dan memutuskan bahawa tempoh masa dua minggu diberikan kepada 21 daripada 31 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) yang dipilih untuk meletak jawatan supaya pemilihan baru dapat diadakan bagi menyelesaikan krisis kepimpinan parti.

Semalam, Timbalan Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Baru MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata surat peletakan jawatan yang standard telah diberikan kepada anggota CC dan setakat ini tiada seorang pun daripada mereka telah menandatanganinya dan mengembalikannya ke ibu pejabat parti selain daripada 13 anggota CC yang terpilih termasuk beliau yang telah melaksanakannya.

Sementara itu, mengenai perkara yang berkait dengan kegagalan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Ong mengulangi kenyataannya bahawa beliau akan terus memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan isu itu.

Katanya, semua pihak perlu bekerjasama bagi menyelesaikan urusan pentadbiran dan isu operasi di peringkat PKFZ dan Lembaga Pelabuhan Klang (PKA).

Khamis lepas, bekas pengurus besar LPK Datin Paduka O.C.Phang dan dua yang lain didakwa di Mahkamah Sesyen Klang berhubung kes itu.

Dua yang lain ialah Steven Abok, ketua pegawai operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, yang merupakan kontraktor projek itu dan arkitek Bernard Tan Seng Swee dari BTA Architect, perunding projek itu.

Sementara itu, beliau mengumumkan bahawa khidmat percuma bas sekolah masyarakat di kawasan Parlimennya akan memulakan perkhidmatannya dengan sebuah bas mulai tahun depan bagi membantu pelajar miskin di bandar berasa selesa ke sekolah dan tidak membahayakan diri mereka membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar.

Beliau juga berkata, orang ramai yang bukan di dalam kawasan Parlimennya juga dialu-alukan melawat pusat khidmat beliau bagi mendapatkan bantuan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan