Malaysia Sedia Bantu Thailand Tubuh Bank Islam

Diterbitkan: Sabtu, 12 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Malaysia bersedia untuk menghantar pakar-pakar kewangan dan perbankan bagi membantu Thailand menubuhkan bank Islam di tiga wilayah yang sedang bergolak di selatan negara itu, bagi faedah penduduk Islam.

Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata pakar-pakar berkenaan akan dihantar pada bila-bila masa ke Pattani, Narathiwat dan Yala sekiranya pihak berkuasa negara itu memohon bantuan dari Malaysia.

"Kita akan buat apa saja bagi membantu umat Islam lebih-lebih lagi ketiga-tiga wilayah itu berada di sempadan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Daramain, Perupuk di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan itu sebahagian daripada janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva ketika Najib melakukan lawatan ke wilayah itu, Khamis lepas.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan memberi jaminan penubuhan bank Islam di wilayah itu akan selesai dalam tempoh satu hingga dua bulan. Katanya terpulang kepada kerajaan Thailand sama ada bantuan itu diperlukan berasaskan kepada bentuk usahasama atau bantuan teknikal jangka pendek sehingga membolehkan rakyatnya dapat mengendalikan sendiri urusan yang berkonsepkan syariat Islam itu.

Beliau berkata jika keamanan dapat diwujudkan di ketiga-tiga wilayah bergolak itu, ia akan memesatkan peluang-peluang ekonomi dan pelaburan yang akan memberi faedah kepada rakyat kedua-dua negara terutamanya pembangunan di kawasan sempadan.

Katanya selain itu, kerajaan menimbang untuk memanjangkan bantuan dalam bentuk tenaga pengajar bahasa Melayu dan guru agama Islam di sekolah-sekolah rendah menengah dan pusat-pusat pengajian tinggi di sana.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan