Kadar Mas Kahwin: Masyarakat Perlu Bezakan Antara 'Adat Dan Ibadat'

Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kenaikan kadar mas kahwin yang diumumkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)mendapat reaksi yang berbeza daripada beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Menurut bekas Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar, kenaikan kadar mas kahwin tersebut tidak memadai kerana perkara yang lebih utama adalah masyarakat perlu bijak untuk membezakan antara perkara yang melibatkan adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dan ibadat yang dituntut dalam Islam.

"Perkara pokoknya, mas kahwin ialah ibadat yang diwajibkan dan terkandung dalam rukun nikah, sementara nilai wang hantaran adalah adat dalam istilah perkahwinan orang Melayu.

"Oleh yang demikian, masyarakat perlu membezakannya dengan jelas," katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin di negeri itu daripada RM80 kepada RM300.

Semalam, JAIS menetapkan kadar mas kahwin sama rata bagi wanita yang kali pertama berkahwin dan janda sebanyak RM300 berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Kushrin Munawi, berkata kadar baru itu dibuat bagi menyelaraskan semula kadar mas kahwin di negeri itu mengikut perkembangan semasa.

Katanya, kadar mas kahwin sebanyak RM80 untuk anak dara dan RM40 bagi janda tidak pernah dikaji semula sejak ia ditetapkan pada tahun 1968.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Zainul berkata, nilai wang hantaran yang ditetapkan perlu sekufu dengan 'status quo' seseorang wanita yang akan dikahwini.

"Jangan sampai ada bakal pengantin lelaki terpaksa membuat pinjaman bank untuk membayar duit hantaran sedangkan duit mas kahwin hanya RM22.50. Ini tidak logik, biarlah ada keseimbangan dalam perkara ini," katanya kepada mStar Online hari ini.

Tegasnya, masyarakat perlu dididik tentang perbezaan antara mas kahwin dan wang hantaran.

"Kebelakangan ini, masyarakat lebih mementingkan nilai wang hantaran daripada mas kahwin.

"Kita perlu ingat dalam Islam, mas kahwin adalah hak isteri sepenuhnya, sementara wang hantaran adalah duit yang diberikan kepada keluarga pihak perempuan sebagai belanja untuk mengadakan kenduri kahwin," ujarnya.

Menurutnya, perkara yang menjadi masalah pada hari ini ialah nilai wang hantaran yang ditetapkan oleh keluarga pengantin perempuan tidak sepadan dengan nilai mas kahwin.

"Sekarang ini masyarakat seolah-olah berlumba-lumba untuk meletakkan nilai wang hantaran yang tinggi, ada yang letak RM10,000 hingga mencecah kepada RM80,00.

"Memang boleh, kita hendak letak nilai wang hantaran tinggi, tapi kenapa nilai mas kahwin yang diberikan tidak sepadan dengan nilai wang hantaran?" katanya.

Jelasnya, Islam tidak menggalakkan umatnya meletakkan nilai wang hantaran terlalu tinggi sehingga membebankan pihak lelaki.

"Saya mengalu-alukan kenaikan kadar mas kahwin ini, namun bagi saya ia tidak memadai kerana nilai seorang wanita adalah lebih tinggi daripada itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Nik Karim, berharap kenaikan kadar mahar atau mas kahwin yang diputuskan oleh kerajaan Selangor itu tidak akan dijadikan sebagai alasan untuk golongan lelaki lambat berkahwin.

"Saya berharap kenaikan mas kahwin ini tidak menjadi beban kepada pihak lelaki. Mereka juga tidak boleh menjadikan kenaikan mas kahwin ini untuk lambat berkahwin," katanya.

Beliau yang menyokong penuh tindakan kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin itu berkata, perkara tersebut dapat menaikkan harga diri golongan wanita di negeri itu secara tidak langsung.

"Saya mengalu-alukan kenaikan (mas kahwin) ini. Bagi saya ia tidak lah terlalu membebankan dan nilai tersebut sesuai dan memadai dengan situasi ekonomi kita pada hari ini," katanya.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman pula, kadar mas kahwin di semua negeri di negara ini sepatutnya diselaraskan supaya masyarakat tidak terkeliru mengenainya.

"Bagi saya bukan sahaja kadar mas kahwin di Selangor perlu dinaikan, tapi nilai mas kahwin di negeri-negeri lain juga perlu dinaikkan sama. Ini kerana nilai mas kahwin yang ditetapkan di setiap negeri pada ketika ini berbeza-beza.

"Saya berpendapat adalah lebih baik jika kadar mas kahwin di semua negeri diseragamkan kerana perbezaan nilai mas kahwin ini akan hanya membuatkan masyarakat keliru mengenai isu tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq, berkata beliau percaya kenaikan kadar mas kahwin di Selangor mampu mengurangkan kadar penceraian yang berlaku di negeri itu.

"Saya yakin pihak suami akan lebih faham tentang tanggungjawab dan menghargai ikatan perkahwinan.

"Kalau dulu, orang lelaki boleh kata mas kahwin RM80 murah, tapi sekarang ini kadar mas kahwin dah naik hampir 200 peratus. Mesti mereka akan fikir secara mendalam tentang wang yang sudah dilaburkan itu. Perkara ini secara tidak langsung mampu mengurangkan kadar penceraian di Selangor," katanya.

Beliau berkata, peningkatan kadar mas kahwin itu secara tidak langsung dapat mengangkat martabat kaum wanita di negara ini.

"Saya sangat bersetuju dengan kenaikan nilai mas kahwin ini. Sudah tiba masanya martabat wanita diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

"Ini kerana golongan wanita pada hari ini bukan lagi seorang ibu sahaja, kerana ada yang sudah berjaya dalam pelbagai bidang dan menjawat jawatan tinggi di pejabat," katanya.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan