Wanita Diberi 30 Peratus Daripada 3,000 Lesen Teksi Individu

Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wanita diperuntukan 30 peratus daripada 3,000 lesen teksi individu yang akan diberi kepada pemohon di kawasan Lembah Klang bagi menggalakkan mereka menceburi kerjaya sebagai pengusaha teksi.

Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata penambahan lesen teksi individu itu adalah selaras dengan pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Julai lepas sempena genap 100 hari menjadi Perdana Menteri.

LPKP bersetuju supaya penambahan lesen teksi individu diberi kepada pemohon di kawasan Lembah Klang memandangkan lesen teksi individu di Pulau Pinang dan Melaka serta lesen kereta sewa di negeri lain tertakluk kepada keperluan kuota sedia ada di kawasan berkenaan.

Bagi kawasan Johor Baharu pula, keperluan lesen telah melebihi kuota,katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Halimah berkata permohonan teksi individu dibuka kepada rakyat Malaysia yang berumur tidak lebih daripada 60 tahun dan keutamaan diberi kepada pemohon yang mempunyai pengalaman memandu teksi sekurang-kurangnya lima tahun.

Tarikh tutup penerimaan borang permohonan adalah pada 31 Disember ini, katanya.

Beliau berkata LPKP juga memutuskan permohonan lesen baru kenderaan perkhidmatan awam teksi bandar (bajet) dan kereta sewa individu di seluruh Semenanjung akan ditutup mulai 1 Januari 2010. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan