Sesi Dialog Mandatori Antara Majikan, Pembantu Rumah Dengan Kementerian

Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majikan dan pembantu rumah asing diwajibkan menghadiri sesi dialog khas dengan Kementerian Sumber Manusia setiap enam bulan bagi memastikan kedua-dua pihak memahami hak dan tanggungjawab masing-masing, kata menterinya Datuk Dr. S.Subramaniam.

Beliau berkata peraturan baru itu akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.

"Ini akan memastikan majikan dan pembantu rumah menyedari tentang hak masing-masing dan perkara-perkara berkaitan yang boleh dan tidak boleh dilakukan," katanya hari ini.

Beliau menjelaskan dialog berkenaan juga bertujuan meningkatkan kefahaman dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

"Para pegawai saya akan menyampaikan maklumat terperinci mengenai undang-undang dan peraturan berhubung pembantu rumah.

Risalah maklumat akan turut diedarkan kepada majikan dan pembantu rumah," katanya.

Sesi dialog tersebut akan menggantikan rancangan kunjungan dari rumah ke rumah secara rawak oleh pegawai Jabatan Buruh untuk memantau keadaan pembantu rumah yang sepatutnya dilancarkan 1 Dis lalu.

Dialog tersebut dicetuskan ekoran beberapa kes penderaan yang melibatkan pembantu rumah dan majikan mereka sehingga Indonesia selaku pembekal tenaga pembantu rumah terbesar ke Malaysia mengambil keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumahnya ke negara ini.

Mengenai jumlah pendatang asing tanpa izin, Dr Subramaniam berkata jumlahnya mencecah 1.5 juta orang terutama dari Indonesia dan Bangladesh dan menambah beliau telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengenai cara untuk membendung kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini.

Beliau juga berkata kementeriannya akan mengumumkan tidak lama lagi berhubung gaji minimum yang munasabah dan jam bekerja untuk pekerja di sektor keselamatan (pengawal keselamatan) yang boleh menarik minat pekerja tempatan.

"Kini pekerja tempatan tidak berminat kerana struktur gajinya dan menyebabkan agensi keselamatan mengambil pekerja asing sebagai pengawal keselamatan," katanya mengulas mengenai laporan media bahawa warga Nepal banyak diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan