Cadangan Penubuhan Jabatan Penguat Kuasa & Pendakwaan Syariah Negeri Untuk Tujuan Penyeragaman – Mashitah

Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, cadangan penubuhan Jabatan Penguat Kuasa dan Pendakwaan Syariah Negeri yang beliau lontarkan kelmarin adalah bagi menyeragamkan undang-undang syariah yang terletak di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam di setiap negeri dan bukannya bertujuan untuk mengambil alih peranan jabatan berkenaan.

"Kita bukannya nak mengurangkan atau mengambil alih bidang kuasa mereka (jabatan agama Islam negeri).

"Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mahu undang-undang syariah yang digunapakai di setiap negeri diseragamkan. Itu sahaja," katanya ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Jabatan Penguat Kuasa dan Pendakwaan Syariah Negeri bagi memantapkan kualiti khidmat agensi penguat kuasa agama di negara ini.

Semalam, Mashitah yang juga timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam dilaporkan berkata, Jabatan Penguat Kuasa dan Pendakwaan Syariah Negeri akan ditubuhkan bagi mengatasi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa agama yang semakin kritikal di beberapa negeri.

Beliau berkata, penubuhan jabatan tersebut akan dapat melicinkan lagi bidang tugas penguatkuasaan dan pendakwaan syariah.

Diminta mengulas lanjut mengenai cadangan berkenaan, Mashitah, yang juga bekas Ahli Parlimen Baling berkata, perkara tersebut masih tertakluk kepada bidang kuasa jabatan agama Islam di setiap negeri untuk melaksanakannya.

"Kita hanya boleh menyarankan kepada mereka (Jabatan Agama Islam Negeri) untuk menubuhkan dua jabatan berkenaan. Namun keputusan akhir masih terletak di bawah bidang kuasa masing-masing di setiap negeri untuk melaksanakannya," katanya kepada mStar Online hari ini.

Sehubungan dengan itu, Mashitah berkata, Jakim dan jabatan agama Islam negeri akan memperhalusi cadangan tersebut bagi memastikan penubuhannya dapat mengatasi masalah pertambahan dan kelewatan kes di Mahkamah Syariah seluruh negara.

"Alhamdulillah, setakat ini kita mendapat maklum balas yang baik daripada hampir semua Pengarah Jabatan Agama Islam di seluruh negara.

"Melaka akan menjadi negeri pertama yang akan menubuhkan dua jabatan berkenaan. Kita berharap negeri-negeri lain akan mengambil langkah yang sama selepas itu," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pentauliahan penceramah yang menjadi isu baru-baru ini, Mashitah berkata, perkara tersebut masih tertakluk di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam negeri masing-masing.

"Isu itu (pentauliahan kepada penceramah) masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing. Jakim tidak campurtangan dalam hal berkenaan,” katanya.

Pada 1 November lalu, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan ketika sedang memberi ceramah agama di sebuah rumah beralamat No 2, Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang dekat sini, antara jam 8.10 malam hingga 9.45 malam. Beliau didakwa atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan