2009 Penuh Cabaran Bagi SPRM

Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BELUMPUN genap setahun usianya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menggantikan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), menjadi antara institusi paling hangat diperkatakan pada tahun 2009.

Kematian Teoh Beng Hock, 30, yang mayatnya ditemui di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, di mana terletak pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 pada 16 Julai lepas, menggemparkan seluruh negara.

Mayat setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu, ditemui selepas lapan jam memberi keterangan sebagai saksi berhubung siasatan salah guna peruntukan wang kerajaan Selangor.

Disebabkan siasatan oleh SPRM itu, ada pihak turut mendakwa kononnya suruhanjaya itu ada kaitan dengan kematian Teoh, sekali gus mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa satu inkues akan diadakan bagi menyiasat punca kematian itu.

Inkues itu telahpun bermula 29 Julai lepas dan setakat ini telah memanggil beberapa saksi.

Mulai 1 Jan 2010 nanti, SPRM akan diterajui Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Datuk Abu Kassim Mohamed bagi menggantikan Ketua Pesuruhjaya Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang memendekkan tempoh perkhidmatannya.

Tugas Abu Kassim tidak mudah lebihlebih lagi apabila mahkamah telah memutuskan bahawa SPRM hanya dibenarkan menyoal siasat saksi pada waktu pejabat sahaja.

Hakim Makamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Ariff Md Yusof, membuat keputusan itu selepas mahkamah menerima permohonan saman anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah yang mendakwa penahanan dan soal siasat yang dilakukan selama 16 jam sehari oleh SPRM terhadapnya menyalahi undang-undang dan menyebabkan beliau mengalami kerugian serta kesan buruk.

Keputusan itu kini dirayu di mahkamah.

Dalam masa yang sama, SPRM mengarahkan semua cawangannya di seluruh negara menghentikan proses merekod kenyataan saksi selepas waktu pejabat dan soal siasat hanya dilakukan antara 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Tahun 2009 menyaksikan beberapa kes rasuah berprofil tinggi membabitkan ahli politik tanah air sama ada dari Barisan Nasional mahupun pembangkang.

Antara yang disiasat ialah bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohamad Norza Zakaria kerana dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan pada pemilihan parti pada bulan Mac manakala bekas Menteri Pelancongan Datuk Azalina Othman Said juga tidak terlepas daripada siasatan tetapi SPRM tidak mendapati bukti kukuh untuk mendakwanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat pula disiasat berhubung dakwaan menggunakan dana kerajaan negeri untuk menyelenggara kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus milik peribadinya serta pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 menggunakan wang kerajaan negeri.

Isu itu juga menyebabkan Khalid menyaman Ahmad Said kerana mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memfitnahnya dengan mendedahkan siasatan kes itu kepada media.

Di Pulau Pinang, SPRM menyiasat bekas Timbalan Ketua Menteri Mohamad Fairuz Khairuddin, 33, berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai, sehingga memaksa beliau melepaskan jawatan itu untuk melanjutkan pelajaran.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali pula disiasat apabila terdapat dakwaan berhubung isu pemilikan saham bernilai jutaan ringgit.

Mohd Ariffahmi A bdul Rahman, menantu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat pula disiasat berhubung penyelewengan dalam kedudukannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), sebuah hab pindah muatan kapal seluas 405 hektar yang menempatkan gudang, blok kerajaan dan hotel bertaraf empat bintang, menjadi kes berprofil tinggi setelah kos pembangunannya melambung daripada RM 1.98 bilion kepada RM4.98 bilion, dengan mengaitkan beberapa pemimpin kerajaan termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Tahun 2009 juga menyaksikan usaha SPRM memantau tindak-tanduk Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri dengan menubuhkan pasukan khas yang meneliti peraturan, sistem, prosedur serta kawalan dalam perbelanjaan peruntukan wakil rakyat.

SPRM juga membuka 42 fail siasatan ekoran pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang antaranya menyebut mengenai kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh selain harga "tidak masuk akal" bagi pembekalan peralatan kepada badanbadan berkanun persekutuan bagi tahun 2008.

Walaupun berdepan dengan pelbagai tohmahan, SPRM terus mengorak langkah dengan menjalin kerjasama dengan Interpol dalam usaha pencegahan rasuah dan aktiviti berkaitan latihan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan