Cuepacs Yakin Kerajaan Lulus Imbuhan Tambahan RM500

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan meluluskan imbuhan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta penjawat awam di negara ini bagi menggantikan bonus.

Presidennya Omar Osman berkata melalui beberapa siri pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu, ia mendapat reaksi positif.

"Baru-baru ini saya sempat menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang di Langkawi...apabila ditanya mengenai tuntutan itu beliau memberi reaksi yang meyakinkan.

"Cuma kita minta, sekiranya perkara ini diluluskan kerajaan, ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum musim persekolahan tahun depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Kerajaan telahpun mengumumkan bayaran imbuhan RM500 kepada kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk tahun ini. Sementara itu, Omar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga diminta menilai semula penambahbaikan yang dilakukan terhadap peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Katanya ini kerana ramai penjawat awam yang menduduki peperiksaan PTK tidak lulus selepas berlaku penambahbaikan terhadap sistem penilaian itu.

"Oleh itu, Cuepacs mahu peperiksaan penilaian itu yang akan diadakan pada bulan ini ditangguh terlebih dulu sehingga semakan semula dilakukan memandangkan peperiksaan ini penting untuk anjakan kenaikan gaji," katanya.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan