Baik Pulih Sistem Perparitan Rosak Antara Syor Laporan Bukit Antarabangsa

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Baik pulih sistem perparitan yang rosak dan laksanakan pemantauan yang lengkap terhadap cerun-cerun sedia ada yang menunjukkan tanda-tanda rekahan adalah antara syor yang terkandung dalam Laporan Kajian Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa yang berlaku 6 Dis tahun lepas.

Laporan berkenaan dikeluarkan oleh sebuah Jawatankuasa yang diketuai oleh Jabatan Kerja Raya (Cawangan Kejuruteraan Cerun Malaysia) dan dianggotai 11 agensi lain termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.

Laporan itu juga didatangkan dalam dua jilid (Volume 1 dan Volume 11) yang mana jilid pertama adalah berkisar kepada hasil laporan berhubung kajian tanah runtuh itu yang mengandungi 78 muka surat manakala jilid kedua bertumpu kepada gambaran peta yang menunjukkan stuktur tanah kawasan tragedi berkenaan.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norziatulshima Tajuddin berkata MPAJ menjual laporan itu kepada orang ramai bermula hari ini.

"Setiap set yang merangkumi Volume 1 dan Volume 11 dijual dengan harga RM80 dan kita turut sediakan salinan rumusan daripada laporan-laporan berkenaan kepada orang ramai yang membeli laporan ini," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini. Beliau berkata kaunter jualan dan tempahan dibuka pukul 8.30 pagi dan hanya sebanyak 50 set dijual kepada orang ramai hari ini.

"Hari ini MPAJ hanya keluarkan 50 set yang mana 20 set telah ditempah oleh orang ramai sejak minggu lepas manakala selebihnya kita jual kepada mereka yang datang ke pejabat MPAJ hari ini.

"Bagaimanapun bagi mereka yang ingin mendapatkan laporan itu boleh datang ke pejabat kami untuk membuat tempahan.

"MPAJ juga akan mengeluarkan 50 set laporan berkenaan untuk dijual pada hari yang sama minggu hadapan."

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan pembeli laporan terbabit adalah wakil pihak pemaju, orang awam dan pihak media.

"Sememangnya jika dilihat dari majoriti pembeli adalah daripada pihak pemaju. Manakala pembeli dari kalangan penduduk (Bukit Antarabangsa) kurang... mungkin mereka tidak tahu laporan ini telah pun dikeluarkan," katanya.

Seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Han, 43, berkata walaupun tidak terlibat dalam insiden tanah runtuh berkenaan tetapi sebagai seorang pemaju laporan itu boleh dijadikan rujukan dalam kerjayanya.

"Saya juga adalah pemaju. Walaupun saya bukan pemaju untuk Bukit Antarabangsa ini tetapi saya rasa laporan ini sememangnya berguna untuk kerjaya saya.

"Sebagai pemaju kita boleh tahu apa langkah-langkah awal yang perlu diambil sebelum menyiapkan sesebuah projek perumahan," kata Han.

Hassan Saad, 51, seorang penduduk Bukit Antarabangsa ketika dihubungi berkata beliau tidak dimaklumkan bahawa laporan tragedi yang mengorbankan lima nyawa itu telah dikeluarkan.

"Saya tak tau ia dah keluar hari ini. Bagaimanapun saya akan dapatkan laporan itu untuk mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan," katanya.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan